Hukuman pemotongan mata di kalangan pasukan Liga Malaysia kerana culas membayar gaji pemain dan pegawai masing-masing dilihat tidak akan menjejaskan imej Liga Malaysia.
Sebaliknya ia harus dianggap sebagai pengajaran kepada pasukan bertanding supaya tidak mengabaikan isu pembayaran gaji pada masa akan datang.
Perkara itu dinyatakan oleh Pemangku Kerua Pegawai Eksekutif Malaysian Football League (MFL), Datuk Abdul Ghani Hassan seperti yang dilaporkan oleh Stadium Astro semalam.
“Pemotongan tiga mata kepada PDRM itu merupakan hukuman yang dijatuhkan oleh FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia).” kata Abdul Ghani.
“Bagi kami, ia akan tetap diteruskan di peringkat liga dan PDRM akan turun sebagai pasukan yang ditolak tiga mata dalam perlawanan pembukaan mereka,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Abdul Ghani turut menafikan khabar angin kelewatan bermulanya saingan Liga Malaysia pada musim ini disebabkan kerana perlu menunggu Stadium Sultan Ibrahim di Nusajaya disiapkan.
“Masalahnya disebabkan ECP [Program Kawalan Ekonomi MF], kita sendiri tahu mengenai masalah pembayaran gaji dan sebagainya,” jelas beliau.
“ECP perlu dilaksanakan dan ramai rakan-rakan dalam liga di luar negara memuji langkah-langkah [yang diambil] MFL,” tambahnya.
Foto: Stadium Astro