Sri Pahang menjadi antara pasukan yang memiliki isu ketumpulan di posisi serangan pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini setelah masalah tersebut diakui sendiri oleh pengendali kelab, Fandi Ahmad.
Untuk saingan Liga Super musim ini menyaksikan skuad Tok Gajah hanya meledak tujuh gol sahaja daripada lapan perlawanan telah diharungi pasukan itu.
Entah di mana silapnya, posisi serangan Sri Pahang seolah tidak begitu menjadi walaupun dibarisi oleh rangkaian pemain import berkualiti pada saingan musim ini.
Malah kebimbangan tersebut turut disuarakan oleh Fandi menjelang aksi Liga Super yang akan kembali bersambung dengan membabitkan pasukan itu pada hari Ahad ini.
Walaupun meraih 11 jaringan daripada tiga aksi persahabatan baru-baru ini termasuk ketika bertemu Terengganu, pengendali dari Singapura itu tetap kurang berpuas hati akan kualiti penyudah pasukan tersebut.
“Saya akui memang jaringan dapat dilakukan, tetapi sumbangan gol itu daripada pemain tengah dan pertahanan ketika pasukan amat memerlukan sentuhan penyudah penyerang.
“Namun, saya harap pada aksi sebenar penyerang dapat melakukannya (jaringan) dalam usaha membantu skuad itu beroleh kemenangan.
“Ia turut dibantu pemain di bahagian tengah dan pertahanan untuk memastikan Sri Pahang mengutip tiga mata,” kata Fandi menerusi perkongsian Harian Metro.
Statistik menyaksikan Tok Gajah gagal menjaringkan sebarang gol dalam tiga perlawanan dihadapi bagi saingan pentas domestik.
Musim ini menyaksikan pasukan itu menyenaraikan Kpah Sharman, Mykola Ahapov, serta Manuel Hidalgo selaku penyerang import Sri Pahang dengan masing-masing jelas kurang memberikan impak lebih besar
Malah, kritikan peminat turut dilemparkan di media sosial dengan kualiti penyerang import baharu mereka musim ini iaitu Ahapov yang serba tidak menjadi selaku peledak utama.
Malah, Sherman dan Hidalgo sendiri dianggap beraksi pada tahap kurang memuaskan menerusi statistik gol atau bantuan jaringan buat pasukan itu walaupun memiliki reputasi cukup baik buat pasukan dalam menggerakan serangan.
Persoalannya, adakah Tok Gajah bakal membuat rombakan baharu untuk menandatangani khidmat penyerang import baharu pada jendela perpindahan kedua ini?