Quantcast

BERITA

Portugal Atasi Serbia, Ronaldo Cetak Gol Antarabangsa Ke-89

Portugal cemerlang dalam perlawanan kelayakan Euro 2020, berhadapan dengan Serbia, untuk aksi kumpulan B.

Ia bukan perlawanan yang mudah untuk Portugal kerana lawan mereka ternyata memiliki skuad yang baik.

Portugal berjaya mendahului dengan 1 gol pada separuh masa pertama menerusi William Carvalho. Satu situasi kucar-kacir di hadapan gol selepas penjaga gol Serbia melakukan kesilapan, gagal mengeluarkan bola.

Bersambung babak kedua, aksi menjadi lebih rancak. Guedes meletakkan Portugal 2 gol di hadapan pada minit ke-58.

Namun tidak lama selepas itu, pada minit ke-68, Nikola Milenkovic merapatkan jurang gol.

Pada minit ke-80, bermula daripada gerakan dan umpanan cantik Bernardo Silva, bintang utama Portugal, Cristiano Ronaldo menjaringkan gol ke-3 untuk pasukannya.

Mitrovic merapatkan jurang gol sekali lagi untuk Serbia pada minit ke-85, selepas menerima umpanan Dusan Tadic.

Namun perjuangan Serbia dibunuh oleh gol Bernardo Silva pada minit ke-86, ataupun hanya seminit selepas gol Mitrovic.

Portugal menang 4-2. Cristiano Ronaldo kini sudah mencetak 89 gol antarabangsa bersama Portugal. Satu rekod luar biasa.

Beliau hanya 20 gol di belakang Ali Daei yang masih kekal sebagai penjaring gol antarabangsa terbanyak.

Berdasarkan prestasi dan kondisi fizikal beliau, Cristiano Ronaldo kelihatan berada di landasan terbaik untuk mengejar rekod tersebut.

Apa pandangan anda? Adakah Ronaldo mampu untuk menjadi penjaring gol antarabangsa terbanyak sepanjang zaman?