Portsmouth mempunyai pengalaman ngeri di dalam isu pengambilalihan dan pemilikan. Hutang puluhan juta, tunggakan gaji pemain dan pegawai yang kritikal sering kali menghiasi akhbar-akhbar di Britain.
Mereka juga gagal membayar cukai. Membuatkan segala aset dan pentadbiran mereka disita dan dibekukan. Lebih buruk lagi apabila Portsmouth turut disahkan tersingkir dek kerana pemotongan 9 mata. Itu kisah lebih kurang 10 tahun yang lalu.
Pada Khamis lalu, bekas pemilik kelab bola sepak dengan nama jolokan Pompey ini, Sulaiman Al Fahim didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara selama lima tahun kerana tuduhan mencuri wang milik isterinya.
Sulaiman Al Fahim adalah seorang usahawan yang hanya memegang pemilikan ke atas Pompey selama enam bulan pada 2009, didakwa menggunakan wang milik isterinya sebanyak £5 juta untuk membeli pemilikan di kelab bola sepak tersebut.
Al Fahim sebelum ini adalah sebahagian daripada anggota Kumpulan Abu Dhabi yang mengambil alih Manchester City pada 2007.
Beliau bagaimanapun diketepikan daripada konsortium tersebut atas sebab yang tidak diketahui, sebelum memutuskan untuk mengambil alih Portsmouth.
Sehubungan dengan itu, Al Fahim telah didakwa di Mahkamah Jenayah di Dubai atas tuduhan melakukan penyelewengan, sebelum dijatuhkan hukuman penjara selama lima tahun.
The National melaporkan bahawa isteri Al Fahim telah membuka sebuah akaun pada 2009 dengan sejumlah deposit tetap.
Ketika melakukan semakan untuk tujuan pengiraan keuntungan pada 2011, isteri Al Fahim mendapati simpanan tersebut telah dipindahkan ke sebuah firma di UK untuk tujuan pemilikan Portsmouth oleh suaminya.
Agak pelik pula apabila ketika diumumkan sebagai pemilik Portsmouth, Al Fahim pernah berjanji untuk membina stadium baru menjelang 2015 untuk menggantikan Fratton Park.
Malah beliau pernah memberi jaminan kelab tersebut akan bangkit sebagai lapan kelab utama Liga Perdana Inggeris (EPL) menjelang musim 2016..
Namun demikian, sebaliknya yang berlaku apabila pemilikan kelab berkenaan sering bertukar tangan, sebelum diisytiharkan muflis pada 2011.
3 penyingkiran dalam masa 4 tahun, ia bukan mudah buat Portsmouth.
Portsmouth pada hari ini diambil alih oleh satu konsortium yang dikawal oleh penyokong mereka sendiri.
Mujurlah mereka ada penyokong luar biasa! Jika tidak, nama Portsmouth sudah terkubur dan hilang dari dunia bola sepak.