Paul Pogba berkata beliau masih berasa kecewa terkilan walaupun selepas membantu pasukannya itu menewaskan Manchester City dengan skrip penuh dramatik.
Pemain antarabangsa Perancis itu merupakan watak utama kebangkitan United di Etihad pada hujung minggu lalu setelah skuad kendalian Jose Mourinho terlebih dahulu ketinggalan 2-0 sebelum bangkit menewaskan lawan setempat mereka itu 3-2.
Kemenangan buat United itu juga sekaligus menafikan skuad Pep Guardiola meraih kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) lebih awal.
Namun selepas berjaya menewaskan City, Pogba meluahkan perasaan kecewa kerana United tidak memperagakan prestasi seperti pada separuh masa kedua secara lebih kerap pada musim ini.
Ketika bercakap kepada MUTV, Pogba dipetik sebagai berkata:
“Ia adalah perasaan yang hebat apabila menjaringkan dua gol. Ia juga perasaan yang istimewa apabila menewaskan Manchester City di stadium mereka sendiri.”
“Sudah tentu saya gembira. Namun pada masa yang sama, terdapat sebahagian daripada saya berasa kecewa. Jika kami menampilkan tahap prestasi yang sama pada separuh masa kedua, sudah pasti kini kami sedang bersaing dengan City ataupun di hadapan mereka untuk kejuaraan liga.”
“Ia adalah persembahan yang menakjubkan oleh kami sebagai sebuah pasukan pada separuh masa kedua. Dan saya tidak meragui bahawa kami boleh berada di tangga teratas liga jika beraksi seperti ini sepanjang musim ini.”
Masih banyak yang perlu dilalui oleh Manchester United menuju ke penghujung musim ini. Mereka masih mempunyai baki 6 perlawanan sebelum mengesahkan tempat kedua di EPL dan bakal berhadapan dengan Tottenham Hotspur di peringkat separuh akhir Piala FA pada 21 April hadapan.
Pogba juga berkata:
“Sekarang kami perlu memikirkan persembahan kami pada babak kedua perlawanan menentang City, kemudian aksi separuh akhir Piala FA, memastikan setiap pemain berehat dengan cukup, dan kemudian kembali beraksi seperti mana yang kami mampu lakukan.
“Adalah penting untuk melakukan lebih baik pada musim hadapan, dan tidak melakukan kesilapan sama yang telah dilakukan pada musim ini.”