Paul Pogba seakan-akan membidas taktikal Jose Mourinho selepas pasukan mereka seri 1-1 dengan Wolves di Old Trafford.
Man. United kini hanya menang 3 daripada 6 perlawanan EPL setakat ini.
Sebelum ini Jose Mourinho mengkritik pemain beliau yang sambil lewa. Kali ini giliran Pogba pula mengkritik pendekatan pengurusnya itu.
Man. United boleh dikatakan bernasib baik tidak tewas dalam perlawanan ini. Dan seperti biasa, tangan ‘selamat’ David De Gea antara penyelamat mereka.
Luke Shaw dan Paul Pogba antara 2 pemain yang cemerlang beraksi. Namun Lukaku dan Alexis Sanchez agak menghampakan.
“Kami bermain di halaman sendiri, kami sepatutnya bermain lebih baik menentang Wolves.”
“Apabila bermain di ‘home’ kami sepatutnya menyerang, menyerang dan terus menyerang. Itu barulah Old Trafford sebenar.”
“Kami patut bermain di sini dengan menyerang lawan.”
“Saya rasa, pasukan lawan akan gerun jika melihat United berterusan menyerang. Itu kesilapan kami.”
“Mungkin sikap kami harus lebih baik dan kami patut bermain leih baik. Dan sekali lagi, kami sekarang di Old Trafford dan kami harus menyerang dan menekan lawan seperti mana kami lakukan ketika menentang Tottenham, Liverpool, Chelsea dan Arsenal musim lalu.”
“Apabila kami bermain begini (gaya menyerang), ianya akan memudahkan kami.”
Ditanya kenapa Man. United gagal menghadirkan lebih ancaman gol, Pogba berkata:
“Saya bukan pengurus dan tak berhak bercakap tentang itu, tetapi jelas sekali kami harus mempelbagaikan lagi corak permainan. Namun saya tak boleh cakap begitu kerana saya hanya pemain, bukan pengurus.”
“Itu hanyalah apa yang berada di dalam kotak fikiran saya. Kami harus bergerak lebih baik dan lebih banyak.”
Pogba mengakui jadual padat adanya UCL pada pertengahan minggu antara perkara yang memberikan impak kepada mereka.