Paul Pogba bukan harta milik Ole Gunnar Solksjaer, kata ejen terkenal Mino Raiola.
Pemain tengah berusia 26 tahun itu kini sedang dalam perjalanan pulih dari kecederaan buku lali, tetapi Raiola menekankan pemain itu mahukan perpindahan ke Juventus pada musim panas nanti.
Sebelum ini Solskjaer memberikan respon kepada komen Raiola mengenai keinginan Pogba, dengan mengatakan pemain tersebut bukan pemain milik ejen tersebut.
Melalui satu muat naik di media sosial, Raiola kemudiannya berkata beliau berharap Solksjaer tidak melihat Pogba sebagai tahanan penjara pengurus itu.
“Paul memang bukan milik saya, dan beliau juga bukan harta milik Solksjaer. Paul adalah Paul Pogba.
“Sebelum Solksjaer memberi sebarang komen mengenai apa yang saya katakan, beliau perlu mengingatkan dirinya mengenai apa yang dirinya sendiri pernah kata.
“Sehingga sekarang mungkin saya bersikap terlalu baik kepada beliau. Solksjaer patut ingat kembali apa yang beliau katakan kepada Paul pada musim panas yang lalu.
“Saya berpendapat Solksjaer sedikit kecewa, dan kini isu tersebut telah bercampur aduk. Saya yakin Solksjaer ada perkara lain yang dia risaukan.”
Pada musim ini Pogba hanya beraksi dalam lapan perlawanan untuk United, dan tampil hanya dalam dua perlawanan sejak September lalu. Tetapi Solskjaer menekankan Pogba akan kembali ke latihan pada Selasa akan datang.
Ditanya wartawan selepas kemenangan 2-0 ke atas Chelsea sekiranya beliau ada sebarang komen mengenai apa yang Raiola katakan, Solskjaer berkata: “Saya boleh bercakap kepada beliau sendiri.”
Tetapi ketika ditanya sama ada beliau akan bersemuka dengan Raiola, Solskjaer berkata: “Mungkin tidak.”
Bagi bekas pemain, Gary Neville berpendapat kini tiba masanya United membuat keputusan untuk terus berurus niaga dengan Raiola atau tidak pada masa hadapan.