Quantcast

BERITA

Pogba Bidas Kritikan, Minta Jangan Bandingkannya Dengan Ronaldo Dan Messi

Pemenang Piala Dunia 2018 – Paul Pogba sering dikritik susulan prestasi tidak konsisten ketika mewakili Manchester United.

Beliau dinilai tidak banyak memberi sumbangan dalam membantu kelab itu sejak kembali dari Juventus.

Bagaimanapun, Pogba tampil mempertahankan kritikan keatas dirinya dengan mengatakan bahawa beliau sudah memberikan yang terbaik tetapi orang disekeliling tidak menilai usahanya itu dengan lebih terperinci.

Menurutnya, bola sepak pada ketika ini lebih menitikberatkan kepada statistik permainan berbanding sumbangan keseluruhan pemain.

HUDDERSFIELD, ENGLAND – MAY 05: Paul Pogba of Manchester United during the Premier League match between Huddersfield Town and Manchester United at John Smith’s Stadium on May 05, 2019 in Huddersfield, United Kingdom. (Photo by Ben Early/Getty Images)

“Bola sepak sudah berubah dengan pesat pada ketika ini.”

“Saya membesar dengan menonton banyak pemain hebat, legenda yang luar biasa seperti [Alessandro] Del Piero, [Luis] Figo, [Francesco] Totti dan banyak lagi.”

“Mereka semua merupakan seorang juara, dan mereka yang terbaik di dunia. Namun banyak dari mereka yang tidak melakukan 20 gol dalam satu musim. Namun sekarang ini seorang pemain selalu dinilai berdasarkan data, statistik dan angka.”

“Anda harus ingat bahawa Pavel Nedved dianugerahkan Ballon d’Or ketika pasukannya tidak memenangi Liga Juara-Juara atau bahkan mencetak gol sebanyak itu. Dia hanya menjadi yang terbaik di posisinya dan dia telah diberikan penghargaan atas apa yang dilakukan di atas lapangan.”

Messi dan Ronaldo

Dalam pada itu, Pogba turut menyebut – Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi sebagai punca segala hal ini berlaku.

Pogba percaya bahawa pencapaiannya pada musim ini tidak dihargai kerana pemerhati bola sepak lebih membandingkannya dengan Messi dan Ronaldo.

Oleh itu, beliau tidak mahu dirinya terus dibandingkan dengan ‘kehebatan’ dua pemain terbaik dunia itu.

“Di satu sisi, statistik bagus untuk revolusi bola sepak moden, jadi keinginan untuk bermain menjadi lebih besar. Tetapi kita sering lupa betapa sukarnya pemain untuk mencetak 20 gol dalam satu musim, dan ini juga berlaku kepada pemain hebat.”

“Saya rasa itu terjadi kerana jarak antara pasukan terbaik telah mula berkurang, terutamanya dalam pertandingan besar. Messi dan Ronaldo telah menunjukkan bahawa dalam beberapa tahun yang lalu – di mana mereka telah berjaya mengekalkan statistik mereka, dan saya fikir mereka harus dikecualikan kerana mereka luar biasa.”