Pada era bola sepak moden ini, terma simulasi atau diving sangat popular dalam kalangan kita semua.
Ketika ini, terma itu dikaitkan dengan rancaknya kepada Tottenham Hotspur selepas aksi yang ditunjukkan pemain pasukan tersebut pada perlawanan menentang Liverpool.
Paling jelas kelihatan adalah insiden Dele Alli yang dilayangkan kad kuning kerana melakukan simulasi dalam kotak penalti Liverpool.
Ketika ditanya mengenai simulasi dalam bola sepak, pengurus Totteham Hotspur iaitu Mauricio Pochettino, beliau berasakan itu merupakan sebahagian daripada taktik bola sepak.
“Bola sepak itu merupakan sukan yang memerlukan kita untuk memperdaya pihak lawan. Betul atau tidak?”
“Ketika zaman saya bermain, jika pemain itu berjaya lakukan simulasi dan pengadil tidak dapat mengesannya ia merupakan satu kejayaan.”
“Malah ada pemain yang memang berlatih untuk melakukan sedemikian di padang latihan!”
“Perkara ini merupakan perkara biasa di Argentina malah di England. Jangan ingat orang England itu semuanya baik dan sempurna ya.”
Pochettino juga risau dengan situasi di England yang menyaksikan hampir semua perkara mahu dianalisis termasuklah perkara kecil.
Bagi beliau, ia seolah-olah mahu membunuh sukan itu sendiri.
“Bola sepak di England gemar untuk melakukan analisis yang melebih-lebih. Sampaikan pemain lakukan simulasi pun nak dianalisis.”
“Masa kini, kita semua terlalu sensitif dengan simulasi. Alli akan sentiasa diberikan kad kuning kerana itu disebabkan semua orang terlalu fokus kepadanya.”
“Memang benar, kad kuning kepada Alli itu betul. Tapi kita terlalu fokuskan simulasi itu.”
“Bagi saya, isu simulasi ini adalah isu kecil sahaja.”