Pengurus Totenham Hotspur, Mauricio Pochettino mahu agar pengurus kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) yang lain menunjukkan rasa hormat dengan tidak memberi komen mengenai kelab beliau.
Sepanjang minggu ini, pengurus Chelsea, Antonio Conte dan juga Jose Mourinho dari Manchester United, masing-masing mengeluarkan kenyataan mengenai Totenham Hotspur.
Selain daripada menyatakan minat terhadap Kane, Conte berpendapat Totenham adalah sebuah kelab yang tidak mempunyai cita-cita tinggi seperti beberapa kelab besar lain di England.
Manakala Mourinho pula menyatakan Totenham melalui jendela musim panas yang hebat kerana hanya melepaskan Kyle Walker setakat ini.
“Saya bukanlah pengurus yang gemar bercakap mengenai kelab atau pengurus lain.”
“Saya memilih untuk menghormati mereka. Sudah tentu saya menjangkakan perkara yang sama dari pengurus, terutama yang bersaing dengan kami,” ujar Pochettino.
Totenham Hotspur belum pernah memenangi kejuaraan Liga Inggeris sejak melakukannya pada 1961. Satu-satunya piala utama yang dibawa balik ke White Hart Lane adalah Piala Liga pada 2008.
Pada musim panas ini, mereka masih belum membawa masuk sebarang pemain. Manakala pesaing mereka seperti Chelsea, Manchester United dan Manchester City masing-masing telah membelanjakan angka melebihi £100 juta untuk pemain baharu.
“Untuk kelab yang telah berbelanja besar kali ini, sudah tentu jangkaannya juga tinggi. Untuk kami ia tetap sama. Kami punyai cabaran dan cita-cita kami sendiri.”
Bagaimanapun Pochettino enggan mengesahkan keinginan beliau untuk membawa masuk pemain tengah England dari Everton, Ross Barkley.
Pochettino mengakui Totenham sedang aktif di pasaran pemain dan meminta penyokong kelab berkenaan supaya bertenang dan tidak gusar akan kekurangan aktiviti di jendela perpindahan musim panas ini.
“Masa untuk Totenham akan tiba. Kami bersikap tenang kerana kami mempunyai skuad yang kompetitif. Kami ada perancangan. Kami mempunyai idea yang jelas untuk apa yang kami mahu lakukan.”
“Terdapat perkhabaran mengatakan kelab besar berkenaan berbelanja besar, dan ia kelihatan seperti Totenham tidak mempunyai cita-cita.”
“Saya mahu memberitahu penyokong supaya ‘jangan risau’ kerana kami juga sedang aktif dalam pasaran pemain.”
Mauricio Pochettino turut menyentuh mengenai situasi semasa Eric Dier yang dikhabarkan menjadi sasaran Jose Mourinho untuk dibawa ke Old Trafford.
“Hari ini Dier masih seorang pemain Totenham Hotspur. Kami tidak mahu menjual Dier. Dier merupakan pemain penting dalam skuad ini.”
Sumber:
1. Jack Gaughan, Daily Mail (2017): Tottenham boss Mauricio Pochettino hits back at Chelsea manager Antonio Conte for questioning ambition: ‘I am respectful of other players and clubs’; http://www.dailymail.co.uk/sport/football/article-4740988/Mauricio-Pochettino-hits-Antonio-Conte.html
2. Express Sport (2017): Tottenham boss Mauricio Pochettino hits back at Chelsea counterpart Antonio Conte; http://www.express.co.uk/sport/football/834443/Tottenham-Mauricio-Pochettino-Chelsea-Antonio-Conte-summer-window