Dua pasukan dari Lembah Klang, Thai Selangor FC dan Ikram Muda FC kini selangkah sahaja lagi memburu impian beraksi di pentas Liga M3 selepas menundukkan lawan masing-masing pada suku akhir playoff kelayakan ke Liga M3.
Thai Selangor yang merupakan juara Liga Komuniti Puchong berjaya mengetepikan hasrat FC Palitus walaupun diasak hebat pada separuh masa kedua sebelum melakar kemenangan 3-2 di Rhino KV Arena.
Sementara itu, Ikram Muda FC meneruskan coretan indah apabila sekali lagi cipta kejutan ke atas pasukan penuh berpengalaman, PIB FC melalui kejayaan tipis 2-1 pada satu lagi aksi suku akhir.
Menurut jurulatih Thai Selangor FC, Mat Dinos Talib , beliau enggan mendabik dada di sebalik kemenangan itu kerana lawan sebenarnya beraksi lebih baik berbanding mereka sepanjang permainan.
“ Saya rasa lawan berjaya serlahkan taktikal yang cukup baik dan amat bersedia untuk bermain di peringkat suku akhir malah ini bukan perlawanan mudah bagi kami walaupun atas kertas kami sepatutnya boleh menang dengan selesa.
“ Banyak perubahan kami telah lakukan kerana suasana bermain di liga tidak sama seperti mana di peringkat play off malah corak latihan juga kami telah tingkatkan bagi cuba raih keputusan yang baik.
“ Kami selesa dianggap sebagai pasukan underdog dan cuba sejauh mana yang boleh untuk bermain di Liga M3 pada musim depan jika mendapat slot, ” katanya.
Thai Selangor terlebih dahulu memecah kebuntuan menerusi M. Thinaadkharan pada minit 13 sebelum disamakan oleh FC Palitus oleh Nizam Yurhanis di minit 26.
Hazromie Zulkifli dan Iqbal Zurkurian meletakkan Thai Selangor mendahului 3-1 sebelum babak pertama berakhir namun jaringan pemain lawan, Harith Roslan pada minit 87 masuh belum cukup untuk menghalang Thai Selangor mara ke separuh akhir.
Thai Selangor dan Ikram Muda bakal berentap sesama sendiri sementara satu lagi separuh akhir bakal menemukan KSR Sains dan Aze FC.
Dalam pada itu, Ikram Muda FC sudah sedia menanam impian lebih tinggi walaupun kelab itu baharu setahun jagung apabila ditubuhkan pada awal bulan Januari tahun ini.
Pengurus pasukan, Ahmad Taqiyuddin Shahriman begitu teruja melihat kejayaan pemain-pemainnya mampu menyekat PIB walaupun bergelut pada separuh masa kedua permainan.
“ Memang puas hati menang tetapi terlalu banyak perkara kena perbaiki untuk aksi akan datang terutama kehilangan pemain tengah dan kami bergelut untuk seimbangkan permainan.
“ Kami akan cuba analisa kekuatan lawan iaitu Thai Selangor dan saya masih yakin dengan pemain yang saya ada mampu atasi apa-apa sahaja .
“ Kalau ikutkan sasaran kami untuk layak ke M3 ialah pada 2021 tetapi jika kami berpeluang meraihnya lebih awal iaitu pada 2020, kami tidak akan tolak serta perlahan-lahan cuba berada dalam sistem piramid bola sepak Malaysia, ” katanya.
Muhammad Ammar dan Mohamad Firdaus muncul wira Ikram Muda melalui gol pada minit 41 dan 45 manakala gol tunggal PIB disumbangkan Ibrahim Suhaib pada minit 71.
Kredit featured image: Thai Selangor FC