Playoff Liga M3 2020: PIB FC, Klasiko FC Intai Peluang ‘Naik Pangkat’

Liga M3

Selepas pernah mencipta nama beraksi dalam saingan Shopee Piala FA 2019, PIB FC dan Klasiko FC berhasrat mahu meneruskan potensi mereka di arena liga bola sepak tempatan dengan mengimpikan slot bertanding di pentas Liga M3.

Kedua-dua pasukan terbabit bakal berentap dengan 14 pasukan lain pada perlawanan kelayakan (playoff) ke Liga M3 yang akan bermula pada 7 Disember hingga 28 Disember ini di Rhino KV Arena, Shah Alam.

Menurut pengurus PIB FC, Muhammad Ikhram Abdullah, sudah menjadi impian buat mana-mana pasukan untuk sentiasa berada di tahap lebih baik dan mereka tidak mahu melepaskan kesempatan bermain di Liga M3 selepas memiliki pengalaman berharga berentap di pusingan kedua Piala FA dengan Pahang.

“Memang ini menjadi sasaran yang ditetapkan oleh kelab kami iaitu mahu melihat peningkatan pemain dan pasukan ini pada setiap tahun, biar ada kemajuan.

“Walaupun kami berdepan jadual pertandingan yang ketat kerana kami juga baharu habiskan Liga Perdana anjuran FAS (Persatuan Bolasepak Selangor), kami akan bersedia hadapi saingan kelayakan ini.

Muhammad Ikhram Abdullah

“Daripada 16 pasukan ini, saya tidak boleh cakap ada pasukan kuat atau lemah, mereka semua adalah juara-juara daripada seluruh Malaysia, jadi apa yang kami boleh lakukan adalah sentiasa bersedia sahaja dengan sesiapa sahaja yang kami akan temui, ” katanya.

PIB FC akan berentap dengan juara Piala Sultan Johor dan sekiranya menang bakal menanti mereka adalah pemenang pertemuan Juara Terengganu Amateur League dan Juara Selangor Social Premier League.

Sementara itu, pemilik Klasiko FC, Khairil Anuar, mengakui laluan berliku dan mencabar buat mereka untuk menggapai peluang bermain di Liga M3 musim depan selepas diundi berdepan juara daripada Liga Super Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur(KLFA) pada pusingan awal.

“Pengalaman kami pernah bermain di Piala FA memberikan kami objektif lebih jelas untuk memasang impian lebih tinggi dan kami kini hanya beberapa langkah sahaja lagi untuk ke M3.

Khairil Anuar

“Undian memang agak sukar kerana bertemu juara dari Liga Super KL, kalau kita tahu sebelum ini, liga ini sentiasa menghantar pasukan ke Liga FAM, ketika Liga FAM masih ada.

“Kita tahu kualiti Liga Super KL selain pasukan dari Liga-liga Selangor agak baik dan kukuh daripada segi kewangan, malah punyai kualiti pasukan lebih baik kerana bariskan ramai bekas pemain tetapi memang kita jangkakan apabila sudah masuk ke dalam undian playoff ini, ” katanya.

Pasukan lain yang turut bersaing dalam saingan pusingan kelayakan ini mengikut format kalah mati ini ialah Thai Selangor, Aze FC, MBMB Warriors FC, PJ Hiliran, Palitus FC, JARR FC dan Kuatagh FC.

Dua sahaja slot ke Liga M3 ditawarkan kepada 16 pasukan yang akan berentap dalam pusingan kelayakan ini bagi menggantikan Penjara FC dan Tun Razak FC yang tersingkir ke Liga M4.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN