Meskipun mengesahkan penyertaan aksi playoff ke Liga M3 beberapa hari lalu, itu tidak menghalang naib juara Selangor Social Premier League (SSPL), Ikram Muda FC untuk mencipta sensasi pada aksi pusingan pertama berdepan wakil Terengganu Amateur League (TAL), Real Chukai FC.
Menurut pengurus pasukan, Ahmad Taqiyuddin Shahriman, beliau berbangga dengan persembahan anak buahnya biarpun persiapan intensif hanya selama tiga hari selepas berjaya melakar kemenangan besar 5-2 ke atas Real Chukai FC.
Slot itu sepatutnya menjadi milik Mofah FC tetapi juara SSPL itu mengambil keputusan untuk tidak bertanding sekali gus membuka ruang kepada Ikram Muda untuk beraksi.
“Ini merupakan kejohanan besar yang pertama disertai kami tetapi memang segalanya agak lambat kepada kami kerana persiapan hanya dilakukan pada minggu ini selepas mengesahkan slot saat akhir.
“Melalui kemenangan ini, kami harap mampu buat lagi terbaik pada perlawanan akan datang dan kami mahu terus bergerak daripada sini untuk mara sejauh mungkin.
“Walaupun kami dibolosi dua gol pada lima minit pertama, kami berjaya memperoleh lima gol yang kami nak malah sebenarnya ini pengalaman kali pertama kami bermain di sini, ” katanya.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Rhino KV Arena pada Sabtu, Ikram Muda FC melakar kemenangan apabila bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk menang 5-2 menewaskan Real Chukai FC.
Real Chukai mendahului hasil dua gol pantas Tuan Afif Nasrullah pada minit 1 dan Engku Fakrul Nizam,minit ke 5 namun Ikram Muda FC bangkit melalui lima jaringan yang dicipta Ridhwan Johan pada minit 25 dan 57 diikuti Muhammad Fakrulrazi pada minit 45 serta 68 selain Azrul Razman di minit 29.
Lawan yang akan ditemui Ikram Muda pada suku akhir ialah juara Shah Alam League, PIB FC yang menepati ramalan selepas menundukkan juara Piala Sultan Johor, Kluang FA menerusi kemenangan tipis 1-0.
Jaringan tunggal PIB FC disumbangkan oleh Afiq Arshad pada minit 38 selepas berjaya menyudahkan peluang terbuka dalam kota penalti.
Ketua jurulatih PIB FC, Haswanis Che Hassan, bersyukur dengan kejayaan pasukannya melangkah ke suku akhir biarpun mereka boleh mencipta kemenangan yang lebih selesa tetapi banyak peluang keemasan diperolehi pemainnya gagal dimanfaatkan.
“ Kalai ikutkan, kami boleh menang menerusi kemenangan lebihan tiga atau empat gol namun tuah tidak memihak kami cuma perancangan menukar formasi pada pertengahan permainan nyata membantu kami.
“ Saya kehilangan seorang tonggak utama di bahagian tengah dan ketika kami amalkan formasi 4-3-3, penguasaan kami agak longgar sebelum saya buat keputusan kepada 4-4-2, nyata ia membuahkan hasil, ” katanya.
Dalam dua lagi perlawanan lain pada hari pertama pusingan awal playoffs, juara Piala Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), KSR Sains meraih kemenangan 4-1 ke atas juara Liga Alumni, Kuatagh FC.
Manakala wakil Liga Perlis, KSR Kuala Perlis berhempas pulas sebelum mengesahkan slot ke suku akhir apabila menang melalui penentuan sepakan penalti 7-6 selepas terikat 3-3 dengan juara Federal Territory Amateur League, CCT FC.