Quantcast

BERITA

PKNS FC Yakin Dapat Julang Satu Piala Musim Ini

Skuad PKNS FC memberi bayangan bahawa skuad kendalian Datuk K Rajagobal mampu merealisasikan impian menjulang satu piala musim ini.

Dengan kemasukan pemain berpengalaman dari kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Mahali Jasuli serta kehadiran penjaring terbanyak Liga Singapura, Ramazotti, skuad Semut Merah itu yakin mampu memberi cabaran kepada pasukan gergasi Liga Super.

Presiden PKNS FC, Siti Zubaidah Abd Jabar berkata kepada Sinar Harian, beliau yakin dengan kemampuan pasukannya yang terdiri daripada pemain muda yang berkualiti dan dibimbing oleh jurulatih yang berpengalaman.

“Saya yakin dengan apa yang kita ada, PKNS FC mampu memenangi satu piala. Jika berjaya mendapat slot AFC itu satu bonus untuk pasukan.

“Saya juga ingin menyatakan penghargaan kepada kerajaan negeri kerana telah memilih pasukan ini untuk mewakili Selangor bagi saingan Piala Sultan Selangor tahun lalu dan kami berharap jika tahun ini masih diberikan peluang kami akan pastikan piala tersebut menjadi milik Selangor,” katanya.

Sementara itu, kapten pasukan itu, Mohd Safee Sali yang juga bekas pemain JDT melaungkan amaran kepada pasukan lain bahawa skuad ini mampu melakukan kejutan.

“Kami akan cuba mencipta legasi dan sejarah baharu untuk menjadikan kelab ini lebih berdaya saing dan merealisasikan impian merangkul satu piala,” katanya.

Bek kiri berpengalaman, Mahali Jasuli menyertai PKNS FC dari JDT secara pinjaman musim ini. FOTO: PKNS FC

PKNS FC kali ini mempertaruhkan gabungan penyerang muda dan penyerang veteran yang berpengalaman di peringkat antarabangsa iaitu Jafri Firdaus Chew dan Safee Sali sendiri.

Malah, Ramazotti yang merupakan bekas penjaring terbanyak Liga Singapura turut menolak tawaran daripada kelab luar demi PKNS FC.

“Saya menolak beberapa tawaran termasuk dari kelab Thailand untuk menyertai PKNS. Saya memang tertarik untuk bermain di Malaysia kerana saya mengikutinya sejak bermain di Singapura. Malah di Brunei juga ramai pengikut Liga Malaysia.

“Saya tidak meletakkan sebarang sasaran gol walaupun sebelum ini purata saya menjaringkan lebih 20 gol semusim, saya berharap untuk dapat meneruskan rentak itu,” katanya kepada Berita Harian.

Jafri yang masih segar dengan kejayaan membantu skuad Malaysia Bawah 23 Tahun melangkah ke suku akhir dalam saingan AFC Bawah 23 Tahun di China baru-baru ini tidak sabar turun beraksi dengan idolanya.

“Safee adalah idola saya, sebelum ini saya melihatnya beraksi di stadium dan tak sangka sekarang saya berpeluang bermain bersamanya. Ini peluang terbaik untuk saya belajar dengan Safee dan pemain lain,” katanya.

“Memang berharap untuk diberi peluang bermain, tak kisah dengan siapa digandingkan. Saya kena berusaha merebut tempat dan saya percaya peluang sentiasa ada,” katanya.