PKNS FC Keluar Mesej Misteri, FAS Tampil Perjelas Kedudukan Sebenar

Apakah kisah terbaru PKNS FC dan Selangor FA? Umum mengetahui  perancangan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) untuk melakukan penstrukturan semula bola sepak di negeri tersebut untuk saingan Liga Malaysia pada musim hadapan.

Antaranya ialah dengan bergabung dengan PKNS FC, sekaligus menjadikan pasukan tersebut sebagai pasukan simpanan di bawah pentadbiran FAS.

Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon menyatakan penggabungan PKNS FC telah dipersetujui oleh 47 ahli gabungan yang hadir pada mesyuarat Kongres Luar Biasa FAS yang berlangsung di Shah Alam pada 28 September lalu.

Tiada respon

Rancangan penggabungan tersebut bagaimanapun perlu terlebih dahulu dipersetujui oleh PKNS FC, sebelum ianya diusulkan kepada badan pentadbir pertandingan Liga Malaysia, Malaysian Football League (MFL).

Namun sehingga kini, tiada kenyataan rasmi daripada PKNS FC berkenaan isu ini. Malah ramai turut tertanya-tanya apakah pendirian rasmi PKNS FC di dalam isu ini.

Sebagai sebuah kelab bola sepak yang telah bertapak lama di landskap bola sepak negara, isu PKNS FC dijadikan pasukan simpanan kepada Selangor turut mendapat pelbagai reaksi.

SANTOKH PERTIKAI PKNS DIJADIKAN ‘FEEDER CLUB’, ANGGAP TINDAKAN FAS MEMBUNUH KELAB ITU

Legenda bola sepak negara, Datuk…

Posted by La BOLA Malaya on Wednesday, October 2, 2019

Legenda bola sepak negara, Santokh Singh misalnya berpendapat ia bukan keperluan untuk PKNS FC menjadi korban untuk dijadikan pasukan simpanan kepada pasukan utama Selangor.

Semalam, PKNS FC turut memuatnaik satu mesej misteri yang menimbulkan lebih banyak tanda tanya. Adakah terdapat mesej tersirat berkaitan penggabungan yang cuba disampaikan oleh PKNS FC melalui muat naik tersebut?

? sometimes the best winner

#TheRedAnts #FearNothing

Posted by PKNS FC on Tuesday, October 8, 2019

Adakah PKNS FC secara diam membantah idea penggabungan oleh FAS? Sehingga satu kenyataan konkrit dikeluarkan oleh PKNS FC yang sebelum ini menjanjikan perkara ini akan dibincangkan di peringkat pengurusan terlebih dahulu, maka pelbagai andaian akan terus diberikan mengenai masa depan skuad The Red Ants.

FA Selangor perjelas kedudukan

Melalui satu kenyataan yang dikeluarkan oleh FAS pada hari ini, Jawatankuasa Eksekutif persatuan itu tampil menjelaskan kedudukan sebenar cadangan penggabungan  tersebut – setelah beberapa perkhabaran negatif turut tersebar.

Antaranya perkara negatif yang dimaksudkan ialah niat FAS untuk bergabung dengan PKNS FC ialah untuk mendapatkan dana yang lebih besar adalah tidak tepat.

“Niat untuk menyatukan kelab bola sepak di Selangor terutamanya FAS dan PKNS FC telah lama wujud, sejak beberapa menteri besar sebelum ini, namun terdapat beberapa kekangan menyebabkan ia gagal direalisasikan sehingga kini.

“Bagaimanapun, sejak beberapa bulan lepas Presiden FAS Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari telah berbincang secara mendalam, untuk mencari penyelesaian dalam isu ini malah menteri besar juga pernah menyatakan hasrat jelas kepada media untuk menjadikan PKNS FC sebagai ‘pasukan simpanan’,” kata kenyataan itu.

Enam faktor oleh FAS

Enam faktor utama telah digariskan oleh FAS untuk menjelaskan mengapa penggabungan dianggap sebagai langkah terbak demi masa depan bola sepak Selangor.

1. Penjimatan
Dianggarkan RM44 juta dibelanjakan oleh tiga kelab di Selangor (FA Selangor, PKNS FC, Selangor United) di saingan Liga Malaysia pada musim lalu. Ia merupakan perbelanjaan terbesar berbanding mana-mana pasukan yang bersaing di Liga Malaysia. Di kalangan tiga pasukan ini hanya Selangor dianggap mencapai keputusan memberangsakan apabila menduduki tangga ke-3 Liga Super, dan mara ke separuh akhir Piala Malaysia setakat ini.

FAS menganggarkan sebanyak RM16 juta penjimatan dapat dilakukan sekiranya penggabungan ini dilakukan. Penjimatan menggunakan kos kerajaan negeri yang dianggarkan sekitar RM8 juta boleh disalurkan kepada bahagian lain yang lebih memerlukan seperti pendidikan, kesihatan, dan pembangunan lain untuk rakyat negeri Selangor.

2. Fokus asal organisasi
Antara yang turut ditekankan adalah mengenai fungsi asal dua entiti berbeza – di dalam kes ini PKNS FC dan Selangor FA – sebagai sebuah badan koperat dan organisasi yang seharusnya memberikan perhatian kepada bola sepak di negeri tersebut.

Langkah penggabungan ini juga dilihat sebagai langkah yang perlu dilakukan untuk kedua-dua entiti memberikan perhatian sewajarnya kepada tujuan asal penubuhan masing-masing.

3. Rakan penaja
Penggabungan ini juga dipercayai akan mengurangkan perebutan mendapatkan penaja dan rakan niaga sesama sendiri. Dengan penggabungan ini,pasukan bola sepak negeri Selangor bakal mempunyai peluang yang lebih baik untuk menambahkan rakan korporat dan penaja.

Hasil penggabungan ini bakal menyaksikan jumlah penyokong yang lebih besar, pertambahan aset untuk diniaga dan diiklankan serta kumpulan sasaran penaja yang lebih meluas.

4. Penstrukturan pembangunan bola sepak
Penggabungan bukan sahaja menyatukan PKNS FC dan FAS. Tetapi ia juga bermakna penstrukturan di tahap pembangunan bola sepak di negeri Selangor secara keseluruhan untuk mewujudkan ruang yang lebih sistematik.

Buat masa ini, terlalu banyak program pembangunan yang dijalankan oleh pelbagai pihak tanpa laluan jelas untuk anak muda di negeri Selangor untuk pergi ke tahap yang sepatutnya.

5. Struktur pentadbiran yang lebih mantap
Selari dengan hasrat FIFA/AFC/FAM, Ppenggabungan ini memberi peluang untuk menyusun semula struktur pentadbiran bagi menjadikannya lebih efektif dan professional seperti yang digunapakai di Jepun, Eropah serta Amerika.

Melalui struktur pentadbiran yang profesional di bahagian korporat dan teknikal, ia akan meningkatkan peluang kejayaan pasukan di dalam dan di luar padang.

6. Mengurangkan jurang antara pasukan Liga Super dan pasukan Presiden B-21
Tidak ramai pemain Presiden B21 yang berupaya untuk bermain di tahap tertinggi bola sepak Malaysia dalam masa yang singkat. Kewujudan pasukan simpanan di Liga Premier ini bakal mengurangkan jurang perbezaan di antara Liga Super dan Piala Presiden, di mana para pemain Presiden B21 akan mendapat lebih masa dan peluang untuk mempertingkatkan keupayaan masing-masing.

Pihak FAS telah mempertimbangkan pelbagai alternatif untuk mewujudkan pasukan simpanan termasuklah menubuhkan sebuah pasukan baharu sebagai pasukan simpanan. Namun peraturan pertandingan yang ditetapkan oleh pihak MFL menyebabkan pasukan simpanan tersebut perlu bermain di peringkat terbawah iaitu Liga M4. Walaupun tidak salah untuk bermula dari bawah, situasi ini akan melengahkan perancangan Selangor selama 2-3 tahun.

Penutup

Kami yakin, setiap pihak mempunyai hujah, pendapat dan pandangan masing-masing mengenai isu ini.

Namun demi kepentingan bola sepak di Selangor dan negara secara amnya, besarlah harapan kita untuk melihat kedua-dua pihak untuk duduk semeja berbincang mengenai perkara ini tanpa ianya perlu terus berlarutan.

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN