Bintang dari Kemboja, Chan Vathanaka kemungkinan akan kembali beraksi dalam saingan Liga Malaysia musim ini apabila PKNS FC dilaporkan berminat untuk mendapatkan khidmat pemain itu bagi mengisi slot pemain import Asia Tenggara (Asean).
Vathanaka sebelum ini pernah beraksi dengan pasukan Pahang selama 5 bulan sebelum kontraknya ditamatkan kerana kemerosotan prestasi. Namun begitu, beliau kembali menunjukkan peningkatan apabila menjaringkan dua gol dalam kejohanan Piala Suzuki AFF bulan lepas ketika mewakili pasukan negaranya.
Pengurus pasukan PKNS FC, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid mengesahkan Vathanaka akan menyertai skuad semut merah itu dalam jelajah pra musim di Singapura untuk diuji bersama pemain lain.
“Kami tidak menolak kemungkinan Chan Vathanaka akan bersama PKNS FC dan mungkin dia akan diuji pada perlawanan pramusim di Singapura minggu ini,” katanya dalam Berita Harian.
Skuad PKNS FC akan berada di Johor dan Singapura bermula Khamis ini hingga 17 Januari. Mereka dijadualkan menentang Johor Darul Ta’zim II (JDTII) di Pasir Gudang diikuti dua kelab Singapura, Geylang United (13 Januari) dan Young Lions (16 Januari), kedua-duanya di Stadium Jalan Besar.
Selain Vathanaka, skuad Semut Merah juga sedang menguji beberapa calon lain termasuk pemain skuad kebangsaan Singapura, Gabriel Quak yang diturunkan pada aksi persahabatan menentang Perlis Sabtu lalu.
Setakat ini, PKNS FC sudah pun melengkapkan tiga kuota import iaitu Romel Morales Ramirez yang masih dikekalkan dan bekas pemain import MIFA, Kpah Sean Sherman dari Liberia.