Dua import baharu, Karl Max dari Chad dan Kim Sang Woo (Korea Selatan) bakal memperkuatkan PKNP FC menjelang perlawanan Liga Super menentang Selangor di Stadium Batu Kawan malam ini.
Walaupun belum ada pengesahan rasmi daripada kelab berkenaan, sumber dari Berita Harian memberitahu kedua-dua pemain itu hampir pasti menjadi pertaruhan baharu PKNP bagi menggantikan Lyuben Nikolov dan Yeon Gi-sung yang sudah digugurkan.
Pengendali kelab itu, Abu Bakar Fadzim mengesahkan mereka dalam proses untuk mendapat sijil perpindahan antarabangsa (ITC) dua pemain import baharu namun masih merahsiakan identiti mereka.
“Setakat ini saya hanya boleh katakan kami sudah ada calon untuk menggantikan Lyuben dan Gi-sung. Cuma, saya tidak boleh mendedahkan siapakah mereka selagi kedua-duanya belum rasmi menjadi milik PKNP.
“Masih ada beberapa proses perlu dilakukan sebelum kami dapat mendaftarkan mereka. Saya berharap ia dapat diselesaikan segera supaya mereka dapat diturunkan malam esok. Jika tidak, kami hanya akan bergantung pada dua pemain import yang masih kekal, Ritus Krjauklis dan Franklin Anzite.
Ia pasti sesuatu yang sukar apatah lagi berdepan pasukan seperti Selangor,” kata pengendali itu.
Abu Bakar dikhabarkan berpuas hati dengan aksi kedua-dua pemain itu sepanjang menjalani latihan malah tertarik dengan persembahan penyerang baharu yang meledak empat gol ketika perlawanan persahabatan menentang UKM FC minggu lalu.
Menurut Berita Harian, sumber mendedahkan penyerang dimaksudkan adalah Max yang kini bermain secara pinjaman untuk kelab, FC Mounana dalam Liga Gabon, Afrika.
Max yang memiliki ketinggian 1.92 meter adalah pemain kebangsaan Chad yang pernah beraksi pada PraPiala Dunia 2010 dan 2014 serta kelayakan Piala Negara-Negara Afrika 2012. Dia pernah muncul penjaring terbanyak Liga Gabon 2010 apabila menjaringkan 20 gol daripada 26 aksi bersama kelab Missile FC.
Seorang lagi pemain import kuota Asia difahamkan bakal diisi oleh pemain simpanan Gyeongnam FC, Sang-woo.
PKNP juga tidak akan mengisi kuota pemain ASEAN itu selepas mengugurkan pemain dari Kemboja, Kheo Sok Peng sebaliknya hanya akan menggunakan empat tenaga import bagi baki Liga Malaysia musim ini.