Jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim mengesahkan mereka akan mengisi slot pemain import dari Asean sebelum jendela perpindahan pertama Liga Malaysia ditutup sepenuhnya pada 20 Februari ini.
Ketika ini, skuad itu diperkuatkan oleh 4 pemain import iaitu Thomas Abbey (Ghana), Yashir Pinto (Palestine), Siyovush Asrorov (Tajikistan) dan Kalidou Yero (Senegal).
Menurut Abu Bakar, pengambilan pemain import kelima adalah untuk mengatasi masalah kepincangan pasukan itu selepas merekodkan 2 kekalahan dan 1 seri dalam 3 perlawanan Liga Super musim ini.
“Kami akan mencari seorang pemain untuk memperkasa bahagian pertahanan.
” Jelas PKNP tidak terdaya bertahan bertemu pasukan-pasukan memiliki pemain bersaiz besar, ” katanya kepada Stadium Astro selepas PKNP FC tewas 2-3 kepada Petaling Jaya City (PJC) FC di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, malam tadi.
Abu Bakar bagaimanapun sudah mengenal pasti seorang pemain dari Filipina dan akan menilai kemampuan mereka dalam masa terdekat.
“Sudah tentu kami akan mencari yang terbaik yang akan dapat membantu perjuangan pasukan.
“Memang dah suntuk. Jadi kami akan berusaha mendapatkannya melalui bantuan ejen,” tambahnya.
Dalam perlawanan semalam, PKNP berjaya mendahului lawan sebanyak dua kali tetapi gagal menyekat kebangkitan skuad kendalian K Devan itu dalam baki 20 minit perlawanan.
” Pemain sudah mencuba tetapi kami kalah kepada lawan yang memiliki fizikal lebih baik,” katanya.