Gerard Pique tampil berhadapan dengan media selepas referendum Catalonia. Banyak soalan yang dijawab dengan jujur oleh Pique.
Pique sebelum dengan terbuka menyatakan sokongan beliau untuk kemerdekaan Catalonia dan turun mengundi dalam referendum Catalonia. Beliau dicemuh ketika sesi latihan pasukan tempoh hari.
Terdapat juga laporan media menyatakan yang hubungan beliau dan Ramos sudah pun retak kerana perbezaan pandangan politik. Banyak spekulasi tentang Pique.
Namun jurulatih Sepanyol, Lopetuigi memberitahu yang Pique berada dalam keadaan terbaik seperti biasa. Berikut adalah kenyataan Pique kepada media :
Temu ramah
Wartawan: Boleh anda jelaskan keadaan yang ada sekarang?
“Saya mahu orang tahu yang saya manusia yang mempertahankan pendirian saya. Pada masa yang sama saya menghormati perbezaan pandangan orang lain.”
“Kita harus amalkan budaya sentiasa terbuka untuk duduk bersama dan berdialog. Bukan sahaja ahli politik tetapi semua orang.”
Wartawan: Apa yang paling menyakitkan anda?
“Apa yang menyakitkan saya adalah apabila benda ini telah memberikan kesan kepada rakan sepasukan saya. Sebab itulah saya duduk di sini (berhadapan wartawan) sekarang.”
Wartawan: Apa reaksi anda kepada kemerdekaan Catalan? Adakah anda gembira jika ia berjaya?
“Adakah reaksi saya itu penting? Saya ada pandangan tersendiri. Ramai di luar sana yang mahukan kemerdekaan ini dan ramai juga yang tidak mahu.”
“Apa yang penting adalah dialog untuk selesaikan perkara ini. Itu tugas ahli politik untuk jalankan tanggungjawab mereka dan cari penyelesaian.”
“Dialog yang mampu meletakkan semua orang duduk bersama. Ianya seperti seorang anak berusia 18 tahun yang mahu keluar daripada rumah ibu bapanya.”
“Jika anda bercakap dengan dia, mungkin dia akan batalkan niat untuk keluar. Itu pentingnya dialog.”
“Apa yang saya fikirkan sekarang hanyalah mahu bermain baik Jumaat ini menentang Albania. Itu keutamaan saya. Tiada siapa yang boleh pertikaikan komitmen saya untuk pasukan Sepanyol.”
“Itulah sebab saya di sini dipanggil oleh ‘coach’. Saya akan buat apa sahaja untuk membantu pasukan ini.”
Wartawan: Jika Catalan merdeka, adakah anda akan bermain untuk Sepanyol ataupun Catalonia?
“Saya tidak tahu apa bakal berlaku dan senario ini saya tidak pernah fikirkan. Jika referendum itu berjaya pun, ia akan mengambil masa 3 ataupun 4 tahun untuk proses kemerdekaan seperti mana Brexit.”
“Saya pun sudah 33 tahun ketika itu dan rasanya saya tidak perlu membuat keputusan dah. Saya tak memikirkan soal itu sekarang ini.”
Wartawan: Adakah anda akan tinggalkan Sepanyol lebih awal selepas pengumuman bersara selepas Piala Dunia Rusia?
“Saya sudah bermain untuk Sepanyol hampir sedekad. Saya bukan jenis pemain yang suka keluar pakai pintu belakang.”
“Rasanya tiada masalah untuk pemain dari Catalonia bermain untuk Sepanyol, kerana Catalonia tiada pasukan kebangsaan buat masa ini. Orang Sepanyol ni hebat dan tiada masalah untuk mereka menerima anda.”
Wartawan: Adakah anda mahukan Catalonia merdeka?
“Itu soalan 10 juta. Saya tidak boleh jawab itu di sini. Bola sepak ini global dan saya tidak boleh letakkan posisi saya ke satu pihak. Buat masa ini, soalan itu tidak penting.”
“Benda ini rumit sebab ianya politik. Masalah seperti ini akan makin membarah jika tiada dialog di antara ahli politik.”
Wartawan: Adakah anda akan perbaiki hubungan dengan Ramos selepas laporan hubungan anda berdua retak.
“Semua kisah pasal saya dan Ramos itu satu penipuan. Kami sentiasa hebat bersama-sama. Saya nak beritahu anda yang kami bakal menjadi rakan niaga di dalam perniagaan yang saya sudah bentangkan kepada dia. Dan saya nak dia sertai.”
“Secara ringkasnya saya nak katakan yang kami tidak ada apa-apa masalah. Kami sangat rapat.”
Sumber
AS – https://en.as.com/en/2017/10/04/football/1507114053_343296.html