Untung sabut timbul, itulah yang sesuai diungkapkan tentang pinjaman bek kanan Selangor FC, Quentin Cheng ke Penang FC apabila beliau meraih minit permainan tinggi serta bawa balik penjaga gol, Sam Somerville.
Beliau dipinjamkan selepas dimaklumkan tiada perancangan dalam skuad utama Selangor musim ini dan atas inisiatifnya, beliau memohon untuk dipinjamkan keluar kerana tidak mahu bermain sekadar di Liga Premier.
Hasilnya, beliau merupakan pemain utama di benteng Penang FC yang meraih kedudukan ketiga Liga Super 2021, juga merekodkan 1959 daripada 1980 minit permainan sepatutnya dan beliau baru berusia 21 tahun.
TERIMA KASIH QUENTIN CHENG
RB kental yg pasti akan dirindui oleh penyokong PFC. Akan kembali berkhidmat bersama Selangor FC setelah semusim dipinjamkan di PFC
Terima kasih kami ucapkan atas segala jasa, keringat dan pengorbanan sepanjang bersama PFC.
HARIA PENANG HARIA 💙🤍💛 pic.twitter.com/KKJSok4YBR
— Ultras Panthers (@UltrasPanthers) November 12, 2021
Beliau turut mendapat panggilan skuad B-23 dan skuad senior kebangsaan. Ia satu penghormatan buat pemain muda sepertinya yang telah segera memberi impak ketika bersama Penang FC dan juga skuad negara.
Beliau turut berjaya membantu skuad Harimau Muda untuk melangkah ke pusingan akhir Piala Asia B-23.
Jadi, adakah beliau akan pulang dan meneruskan aksi cemerlangnya bersama The Red Giants pula? Atau misinya di Pulau Mutiara adalah sebagai ejen untuk membawa pulang penjaga gol, Sam Somerville.
Selangor hanya memiliki dua penjaga gol dalam skuad utama iaitu Khairulazhan Khalid dan Tauffiq Ar Rasyid dengan dibantu pemain dari Selangor 2 iaitu Sikh Izhan Nazrel. Berdasarkan penampilan, jelas seperti hanya Khairulazhan sahaja yang beraksi bersama mereka. Beliau telah tampil 21 kali dalam saingan Liga Super.
Jadi, mungkin dengan kemasukkan Sam Somerville mampu menghadirkan cabaran yang Tauffiq Ar Rasyid gagal berikan sepanjang musim ini. Sam Somerville cemerlang di Penang FC dengan rekod enam cleansheet.
Berdasarkan ciapan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam tempohari, Sam Somerville menandatangani kontrak dua tahun bersama Selangor dan rasanya ia khabar yang sahih dan bukan lagi khabar angin.
Jadi, bagaimana pula Quentin Cheng? Jika dilihatkan, Karsten Neitzel memiliki dua bek kanan yang digunakan sepanjang musim ini. Adakah beliau bersedia menjadi pilihan ketiga berbanding utama di Penang FC?
Berakhir cabaran Penang FC dalam Piala Malaysia dan penjaga gol Sam Somerville antara pemain utama yang sah meninggalkan pasukan apabila difahamkan menyertai Selangor FC dengan kontrak 2 tahun bermula musim depan.
— Zulhelmi Zainal Azam (@zulhelmizainal1) November 10, 2021
The Red Giants ketika ini memiliki kapten, Syahmi Safari di posisi tersebut disamping A. Namathevan yang merupakan pemain ‘backup’. Jika dilihat, pengendali Selangor menggunakan kedua-duanya musim ini.
Begitupun, Karsten Neitzel cukup ‘berhati-hati’ mengendalikan kedua-dua pemain ini dengan Syahmi Safari tidak akan bermain sepenuh masa, sementara Namathevan pula, jika dimasukkan menandakan perubahan akan berlaku di posisi tersebut. Namathevan yang dimasukkan lewat akan membantu membuat assist.
Menurut penganalisis bebas, Zuraimi Zukri, Namathevan melakar tiga assist, sementara Syahmi Safari tiada!
Kecenderungan Karsten Neitzel untuk tidak menggunakan bek sayap memperlihatkan Syahmi Safari tidak melonjak namanya seperti selalu kerana kekuatan bek kanan berpengalaman itu adalah sebagai bek sayap. Dan kekuatan utama Quentin Cheng adalah ketika beraksi di posisi bek sayap dan bukannya di fullback.