Quantcast

KAJIAN & FAKTA

Pilihan Raya Umum 2018: Kesan Kepada Iklim Bola Sepak Negara?

Perubahan iklim politik negara akibat Pilihan Raya Umum pasti akan memberi impak kepada bola sepak negara. Walaupun agak sedikit kecil kesannya.

Pilihan Raya Umum 2018 bakal berlangsung tidak lama lagi. Penulis tidak mahu melahirkan sebarang sokongan kepada mana-mana parti tetapi ingin berkongsi impak kepada sukan ini.

Apa nasib bola sepak selepas PRU2018?

Bola sepak negara melalui kelolaan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) merupakan salah satu badan bukan kerajaan yang cukup berpengaruh. Sebarang keputusan mereka seringkali dinanti-nanti ramai pihak.

Keputusan mereka yang dihebahkan kepada umum bakal menjadi daya penarik peminat (dan pengundi). Meskipun, ada beberapa individu dalam FAM serta persatuan peringkat negeri (dan mungkin daerah) mempunyai jawatan dalam parti masing-masing.

Keterlibatan orang politik dalam bola sepak negara sukar dipisahkan. Kehadiran mereka ada yang dialu-alukan peminat, tak kurang juga ada yang kurang setuju.

Kesan

Rakyat berhak memilih hala tuju negara.

Ramai pihak mungkin memerhatikan apakah kesan program NFDP sekiranya bukan lagi parti sedia ada memegang tampuk pentadbiran negara. Adakah sama ada ia diteruskan oleh pentadbiran baharu atau sebaliknya?

Hubungan FAM (serta badan gabungan) dengan organisasi kerajaan perlu dijaga. Kurangkanlah perang yang sia-sia, walaupun memang akan ada kesan kecil kepada sentimen pengundi.

Selain itu, ramai pihak cakna akan kesan hubungan kerajaan-persatuan bola sepak ini. Ya, banyak perkara berkaitan seperti penyediaan fasiliti seperti stadium dan hal ehwal keselamatan.

Begitu juga dengan undang-undang di peringkat Persekutuan atau Negeri. Sebarang perjalanan bola sepak masih tertakluk di bawah perundangan negara sebenarnya.

Amanat

Undilah, kerana satu undi mampu mengubah hala tuju negara serta industri sukan negara! Sumber gambar: PEMANTAU

Adalah lebih baik parti yang bertanding dapat memaparkan manifesto masing-masing mengenai hal ehwal pembangunan sukan. Ini termasuk juga bola sepak!

Tetapi, penyediaan manifesto dalam bidang sukan hendaklah realistik atau ‘bulan bintang kau janjikan’ (seperti lagu Elizabeth Tan!)

Memang bola sepak itu sebahagian daripada kehidupan sesetengah orang, namun keputusan politik akan memberikan impak besar kepada semua orang.

Nota editor: Ini hanyalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili suara organisasi SemuanyaBOLA.