Pierre-Emerick Aubameyang mengakui beliau tidak berniat untuk bertindak kasar sekaligus mencederakan Maximilian Meyer pada aksi yang berlangsung di Selhurst Park, malam tadi.
Terjahan keras Aubameyang terhadap pemain tengah Crystal Palace itu memaksa beliau diperintahkan keluar padang oleh pengadil perlawanan, Paul Tierney pada minit ke-67.
Tierney pada mulanya hanya memberikan kad kuning kepada penyerang berusia 30 tahun itu tetapi rujukan Video Assistant Referee (VAR) menyaksikan kad merah buat Aubameyang.
Meyer pula terpaksa digantikan serta-merta dengan pemain yang baharu sahaja dipinjamkan dari Everton, Cenk Tosun.
”Semoga Max Meyer cepat sembuh. Saya tidak mempunyai niat untuk melakukan terjahan keras terhadapnya.”
”Saya menghargai kerja keras rakan sepasukan yang berusaha untuk meraih kemenangan. Sayangnya, menamatkan perlawanan dengan keputusan seri tetapi kami akan terus berjuang,” ujar Aubameyang di laman Instagram miliknya.
Kapten Arsenal itu meletakkan pasukan pelawat di hadapan seawal minit ke-12 permainan tetapi anak buah Roy Hodgson berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-54 menerusi Jordan Ayew.
Kad merah yang diterima itu mengakibatkan Aubameyang bakal terlepas tiga perlawanan dan salah satunya adalah derbi London bertemu Chelsea di Stamford Bridge pada 22 Januari nanti.
Kredit foto: Alex Pantling/Getty Images