Kelab Bundesliga Jerman Borussia Dortmund, mengesahkan mereka telah menggantung penyerang antarabangsa Gabon, Pierre-Emerick Aubameyang kerana sebab-sebab disiplin.
Perkhabaran tersebut tiba pada Khamis lalu setelah pihak kelab menyiarkan sebuah video yang menyiarkan persiapan skuad Dortmund untuk ke Stuttgart untuk perlawanan pada awal pagi nanti.
Seorang penyokong Dortmund menampilkan soalan mengenai keberadaan Aubameyang yang tidak kelihatan dalam video tersebut.
Ia lantas dijawab oleh kelab yang berpengkalan di utara Rhine-Westphalia, Jerman itu yang menjelaskan pemain tersebut sedang menjalani hukuman gantung daripada perlawanan oleh pihak kelab kerana terlibat dengan masalah disiplin.
Namun demikian pihak kelab tidak memaklumkan tempoh pergantungan yang akan dijalani oleh Aubameyang.
Laporan daripada akhbar di Jerman yang diterbitkan oleh Bild menyatakan Aubameyang telah berkunjung ke Barcelona ketika tempoh rehat untuk memberi laluan kepada perlawanan antarabangsa untuk melawat bekas rakan sepasukan di Dortmund, Ousmane Dembele.
.@Aubameyang7 wurde aus disziplinarischen Gründen für das morgige Spiel aus dem Kader gestrichen. #vfbbvb https://t.co/GoY4cZvskO
— Borussia Dortmund (@BVB) November 16, 2017
Bild kemudiannya menukar cerita tersebut dan menjelaskan pergantungan oleh Dortmund terhadap Aubameyang disebabkan pemain tersebut gagal melaporkan diri dan hadir lewat sehingga 20 minit ke beberapa siri latihan yang telah dijadualkan oleh pihak kelab.
Ini bukan pertama kali Aubameyang didenda oleh Dortmund sedemikian rupa. November lalu, Aubameyang turut digantung oleh Thomas Tuchel atas alasan yang disifatkan sebagai ‘isu dalaman’ oleh bekas pengendali Dortmund tersebut.
Pada ketika itu Aubameyang dipercayai telah terbang ke Milan tanpa kebenaran pihak kelab setelah tidak beraksi dalam perlawanan UEFA Champions League menentang Sporting Lisbon
Ketika ditanya oleh Bild mengenai perkara tersebut, Aubameyang berkata dirinya bingung dengan tindakan terbaru BVB itu dan akan mempertahankan dirinya daripada sebarang salah laku.
“Ketika kes penerbangan ke Milan, saya boleh memahami tindakan denda dan digantung oleh pihak kelab, kerana melanggar peraturan yang telah ditetapkan. Kali ini saya tidak faham sama sekali.”
“Saya bukannya mahu tiba lewat untuk latihan,” ujar Aubameyang kepada Bild.
Untuk rekod, Aubameyang telah menjaringkan 10 gol daripada 11 penampilan untuk Dortmund sepanjang kempen Bundesliga musim ini.