England layak ke peringkat suku akhir setelah berjaya melepasi cabaran sukar yang diberikan Colombia apabila menang menerusi penentuan sepakan penalti 4-3 di Otkrytie Arena, sebentar tadi.
Perlawanan berkesudahan terikat 1-1 sehingga tamat penentuan masa tambahan.
Terikat tanpa jaringan di babak pertama
Aksi di babak pertama menyaksikan England lebih mengawal permainan dengan penguasaan bola sebanyak 56%.
Persembahan yang ditampilkan kedua-dua pasukan tidaklah begitu rancak walaupun terdapat serangan yang dilancarkan.
Pemain berpengalaman, Ashley Young mengancam kubu lawan seawal minit ke-6 apabila sepakan percumanya dari sebelah kanan pintu gol Colombia pantas diselamatkan David Ospina.
Berselang 10 minit kemudian, giliran Harry Kane pula melancarkan serangan menerusi tandukan sisi hasil hantaran lintang dari Kieran Trippier.
Bagaimanapun, percubaan ketua pasukan England itu sedikit tinggi melewati palang gol Colombia.
Bahagian serangan Colombia yang sedikit tenggelam di babak pertama menguji ketangkasan Jordan Pickford pada lewat permainan.
Penjaga gol Everton itu lebih bersedia untuk menangkap kemas percubaan hasil rembatan luar kotak penalti yang dilakukan Juan Quintero.
Yerry Mina terus cemerlang
Jaringan yang dinantikan menjelma pada minit ke-57 selepas Harry Kane dengan tenang menyempurnakan sepakan penalti yang dihadiahkan pengadil perlawanan, Mark Geiger dari Amerika Syarikat.
Sepakan penalti tersebut diberikan setelah Carlos Sanchez melakukan kekasaran terhadap Kane ketika situasi sepakan sudut.
Yang menarik, ini merupakan sepakan penalti ketiga yang dihadiahkan buat England dalam edisi kali ini dan ketiga-tiga sepakan itu berjaya disudahkan Kane.
Tertekan dengan jaringan yang terhasil, para pemain Colombia kelihatan seringkali tidak berpuas hati dengan keputusan yang dilakukan Geiger.
Kyle Walker melakukan kesilapan pada minit ke-81 yang hampir memberikan masalah buat England selepas kecuaiannya mengakibatkan pemain Colombia melakukan serangan balas pantas ke kubu mereka.
Mujur, Juan Cuadrado yang tidak dikawal melakukan rembatan yang meliar bagi menghampakan para penyokong Colombia.
Mateus Uribe hampir menyamakan kedudukan hasil sepakan jarak jauh menarik dilakukannya ditepis Pickford untuk memberikan sepakan sudut pertama buat skuad bimbingan Jose Pekerman sepanjang 90 minit perlawanan.
Sepakan sudut tersebut ternyata menjadi detik yang dinantikan kem Colombia apabila Yerry Mina menanduk masuk bola pada minit ke-93 untuk kembali menyamakan kedudukan bagi mengheret perlawanan ke masa tambahan.
Masa tambahan
Bagaikan mendapat semangat baharu, Colombia kelihatan berbahaya dan lebih menguasai aksi pada masa tambahan.
Manakala, skuad bimbingan Gareth Southgate pula tercari-cari rentak dalam menangani asakan yang dilancarkan Colombia.
England mempertingkatkan aksi pada babak kedua masa tambahan dengan kembali memperagakan corak permainan yang lebih tersusun.
Bagaimanapun, ia belum cukup bagi mencari pemenang yang terpaksa ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti.
Sepakan penalti
Kegagalan Mateus Uribe dan Carlos Bacca menyempurnakan sepakan penalti telah membawa England ke peringkat suku akhir.
Kejayaan itu dimuktamadkan selepas Eric Dier tidak melepaskan peluang bagi menewaskan Ospina pada sepakan kelima.