Piala Thanh Nien B-19: Malaysia Gagal Catat Kejutan Atasi Vietnam Dalam Aksi Final

Malaysia gagal untuk meraih gelaran juara bagi saingan Piala Thanh Nien yang berlangsung di Stadium Binh Duong setelah tumpas di tangan Vietnam menerusi penentuan penalti 3-4, setelah sebelum itu masing-masing terikat 1-1.

Dalam aksi tersebut, Vietnam jelas menguasai perlawanan dan memperoleh gol awal pada separuh masa pertama sebelum kelebihan itu dipadam oleh pemain gantian negara, Azhad Harraz.

Malaysia hampir memperoleh gol pertama perlawanan pada minit kedua permainan menerusi situasi serangan balas pantas, namun larian solo Izrin Ibrahim gagal untuk menewaskan penjaga gol lawan.

Selepas lima minit permainan berlangsung, jelas kedua pasukan saling seimbang untuk bertukar-tukar serangan dengan intensiti perlawanan agak tinggi dipamerkan.

Barisan pertahanan negara setakat 10 minit permainan berlangsung ini wajar dipuji kerana mempamerkan disiplin sangat tinggi untuk menyerap segala asakan lawan dari segenap arah.

Vietnam terlebih dahulu mendapat jaringan pertama mereka pada minit ke-11 menerusi tandukan yang padu dilepaskan oleh Nguyen Van Tu dalam petak penalti untuk menewaskan Aizat Aiman.

Malaysia jelas bermasalah untuk cuba menggerakkan bola ke bahagian depan, setelah mereka kerap membuat kesilapan menerusi hantaran yang tidak sampai kepada rakan sepasukan.

Melepasi 30 minit perlawanan, intensiti permainan jelas sedikit menurun dengan tidak banyak percubaan menarik terhasil daripada kedua pasukan, apabila bola lebih banyak berlegar di tengah padang.

Bersambung di separuh masa kedua, tak banyak yang dapat dilakukan oleh Malaysia, apabila tuan rumah terus menguasai permainan untuk memberi tekanan buat pertahanan negara.

Setiap gerakan yang cuba dibuat oleh Malaysia begitu mudah dibaca lawan dan hantaran-hantaran menuju ke depan mudah disekat oleh Vietnam untuk mematikan ancaman pasukan kebangsaan.

Menyedari betapa tumpulnya serangan Malaysia, pengendali negara iaitu Hassan Sazali Waras memasukkan khidmat Azhad Harraz untuk memperkukuhkan posisi tersebut bagi menggantikan Adam Uwais pada minit ke-55.

Boleh dikatakan penjaga gol tuan rumah langsung tidak diuji secara penuh pada perlawanan ini setelah ketumpulan yang sangat ketara dipamerkan skuad kebangsaan.

Menuju ke minit akhir permainan, Vietnam masih lagi mengekalkan penguasaan mereka dalam perlawanan ini untuk memburu sekurangnya satu lagi gol, namun Malaysia berjaya menghalang segala bentuk percubaan lawan dengan baik.

Malaysia akhirnya berjaya mendapat gol penyamaan pada minit ke-83 menerusi penyerang gantian, Azhad Harraz yang menyempurnakan hantaran dari sebelah kanan untuk menewaskan penjaga gol Vietnam sekali gus meletakkan keputusan semasa 1-1.

Keputusan kekal dengan seri 1-1 dan diheret ke penentuan sepakan penalti untuk menentukan siapa yang bakal menjuarai kejohanan ini.

Malaysia terpaksa akur pada aksi penentuan penalti setelah tewas dengan keputusan 3-4 setelah sebelum itu mereka terikat pada masa sebenar 1-1.

Walaupun begitu, pujian tetap harus diberikan apabila skuad pilihan kedua ini berjaya melangkah ke final meskipun tidak ramai pemain utama yang menyertai mereka kali ini.

Leave a Reply