Real Chukai Muncul Juara Piala Terengganu Amateur League Edisi 2017!

Kemuncak bagi Terengganu Amateur League 2017 (TAL) telah tiba dengan perlawanan akhir bagi Piala TAL diadakan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu tempoh hari.

Perlawanan melibatkan Real Chukai dan PBSMT Lanjerket nyata memberikan hiburan yang cukup menarik apabila kedua-dua pasukan nyata tak mahu mengaku kalah dalam perlawanan akhir ini.

Gol, gol dan gol!

Dalam perlawanan akhir tersebut, kedua-dua pasukan nyata menepati ciri-ciri mereka sebagai pasukan yang mengamalkan corak bola sepak menyerang.

Hal ini kerana, Real Chukai dan PBSMT Lanjerket telah menghasilkan 5 gol dalam perlawanan akhir ini dengan keputusan yang berakhir dengan jaringan 3-2.

Aksi menarik kedua-dua pasukan bermula dengan seawal minit ke-18 apabila Tuan Afif meledak gol pertama perlawanan dan gol pertama untuk Real Chukai.

Khairul Nizam pula menjaringkan gol pada minit ke-34 untuk memberikan gol penyamaan buat PBSMT Lanjerket.

Separuh masa kedua menyaksikan kedua-dua pasukan terus melakukan serangan untuk mencari gol kedua buat mereka.

Usaha itu berhasil buat PBSMT Lanjerket apabila mereka berjaya memperoleh gol kedua mereka pada minit ke-50.

Mohd Jamali menghasilkan penyudah yang cukup baik untuk menewaskan penjaga gol Real Chukai untuk meletakkan PBSMT Lanjerket di hadapan.

Pemain PBSMT Lanjerket meraikan gol mereka dengan gaya tersendiri. Gambar: TAL

Namun dalam bola sepak, apa sahaja boleh berlaku. Ketika PBSMT Lanjerket sedang berkira-kira untuk meraikan kejayaan mereka, muncul seorang pemain Real Chukai memusnahkan semuanya.

Penyerang tajam Real Chukai, Izzan Syahmi memusnahkan impian PBSMT Lanjerket apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-90 untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Ia merupakan gol ke-8 Izzan sepanjang Piala TAL berlangsung!

Izzan Syahmi meraikan gol penyamaan minit akhir untuk membawa perlawanan ke masa tambahan. Gambar: TAL

Memasuki masa tambahan, kedua-dua pasukan meneruskan usaha mereka untuk mencari gol kemenangan.

Setelah dikecewakan dalam tempoh 90 minit masa sebenar permainan, PBSMT Lanjerket dikecewakan buat kali kedua pada masa tambahan.

Muhammad Khairuzi muncul wira buat Real Chukai apabila menjaringkan gol kemenangan buat pasukan beliau dengan penyudah pada minit ke-105.

Gol itu sekali gus meranapkan impian PBSMT Lanjerket dan memberikan kejuaraan Piala TAL buat Real Chukai.

Tahniah dari kami di Semuanya BOLA buat pasukan Real Chukai kerana berjaya muncul juara Piala TAL bagi musim 2017!

Pasukan Real Chukai meraikan kejayaan mereka. Gambar: TAL

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN