Tugas berat sedang menanti skuad The Bos Gaurus apabila bakal menentang juara Liga Super 5 kali, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Larkin dalam perlawanan merebut Piala Sumbangsih malam esok.
Di atas kertas, JDT tampak lebih mantap namun bagi pengendali Perak, Mehmet Durakovic beliau mengharapkan keajaiban untuk meleburkan rekod kebal pasukan Harimau Selatan itu di gelanggang sendiri.
Apatah lagi mereka tidak dapat menggunakan khidmat penyerang import, Gilmar Jose Da Silva Filho yang digantung satu perlawanan kerana mengutip kad merah dalam perlawanan akhir Piala Malaysia musim lalu.
Bagi Durakovic pertemuan antara dua pasukan itu memang dinanti-nantikan oleh pemain kedua-dua pasukan.
“Selepas berminggu membuat persiapan kini tiba masanya pemain melaksanakan segala perancangan dan taktikal disiplin yang diajar jurulatih semasa latihan.
“JDT ada semua. Pemain tempatan dan import serta pengurusan terbaik. Mereka juga punyai rekod cemerlang di tempat sendiri.
“Jadi Perak akan memerlukan segala keajaiban untuk memenangi perlawanan ini. Namun ia bukan mustahil. Dalam bola-sepak apa saja boleh berlaku,” kata jurulatih dari Australia itu dalam Stadium Astro.
Sehubungan itu, Durakovic berharap anak buahnya mempamer perwatakan mantap yang telah menjadikan meteka naib juara Liga Super dan merangkul piala Malaysia tahun lalu.
“Ia pertemuan antara dua pasukan terbaik dalam Liga Malaysia. Sudah tentu ia akan menjadi perhatian dan tumpuan seluruh negara.
“Oleh yang demikian pemain Perak perlu tunjukkan persembahan terbaik mereka sebagai justifikasi mereka adalah antara pasukan terbaik di Malaysia, ” kata Durakovic.