Johor Darul Ta’zim (JDT) bermula dengan langkah kanan untuk musim 2021 apabila membenam Kedah Darul Aman FC (KDA FC) 2-0 untuk menjulang Piala Sumbangsih.
Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim itu menyaksikan Safawi Rasid dan Natxo Insa muncul sebagai penjaring pertama aksi yang merupakan perlawanan pertama Liga Super 2021. Ia tiga mata pertama buat skuad Harimau Selatan.
Kedah yang turun tanpa kelibat bek tengah import, Renan Alves telah menampilkan barisan pertahanan tempatan dengan diketuai oleh pemain paling senior, Rizal Ghazali, dua bek tengah iaitu Rodney Calvin, Syazwan Tajudin dan bek kiri, Fairuz Zakaria.
Ia percaturan yang sangat berani oleh Aidil Sharin selain meletakkan pemain sayap, Faizat Ghazli di posisi tengah bersama Anumanthan Mohan dan Baddrol Bakhtiar.
Sementara JDT pula tampil dengan barisan terkuat mereka seperti musim lalu, hanya tanpa penyerang, Diogo Luis Santo yang digantikan oleh bekas penyerang Kedah, Fernando Rodriguez. Tempat Ramadhan Saifullah kembali diambil alih Safawi Rasid.
Rentak perlawanan hanya menjadi rancak selepas 20 minit perlawanan berlangsung atau lebih tepat selepas percubaan Safawi Rasid yang sedikit tersasar di minit ke-22. Gerakan cantik antara Safawi Rasid dan Fernando Rodriguez gagal dihalang benteng.
Kedah yang kehilangan satu-satunya bek kiri ‘natural’, Ariff Farhan Md Isa yang mengalami kecederaan dalam aksi pra-musim terpaksa bergantung harap kepada pemain bek kanan yang baharu dibawa masuk daripada Penang FC, Fairuz Zakaria.
JDT memanfaatkan kelemahan Kedah di posisi tersebut dengan acapkali kelihatan Safawi Rasid mengganggu Fairuz Zakaria. Begitupun, defensive third Kedah dilihat kompak dengan mereka cepat untuk turun menutup ruang apabila diserang.
Sepanjang 20 minit pertama menyaksikan tiga percubaan terkena palang gol iaitu dua menerusi JDT, Leandro Velazquez dan Gonzalo Cabrera dan satu buat Kedah oleh Kipre Tchetche. Begitupun, perlawanan berlangsung dalam tempo perlahan.
Akhirnya Safawi Rasid menggunakan sepenuhnya peluang yang dimilikinya di ruang sempit untuk menewaskan Ifwat Akmal pada minit ke-35. Satu gol pembukaan yang menarik bermula daripada sepakan penjuru yang diambil Gonzalo Cabrera, sebelum Safawi Rasid menerima hantaran kemas pemain tengah, Afiq Fazail kepadanya.
10 minit sebelum itu, Kedah sebenarnya hampir berjaya memerangkap JDT menerusi serangan pantas, namun produk akhir Rizal Ghazali mudah buat Farizal Marlias.
Tiga minit babak kedua bermula, pertembungan Safawi Rasid dan penjaga gol, Ifwat Akmal menyaksikan Kedah terpaksa membuat pertukaran dengan memasukkan Shahril Sa’ari. Ia bermula hasil gerakan solo Safawi Rasid di sebelah kiri gawang.
Kedah turun di babak kedua dengan intensiti yang lebih tinggi dengan segera menutup ruang apabila pemain-pemain tuan rumah memiliki bola. Ini menyukarkan buat JDT untuk lebih kerap cuba memecah masuk ke zon defensive third lawan.
Begitupun, dengan intensiti sebegini, Kedah sebenarnya cenderung untuk mengundang kepenatan dan kecederaan. Itu yang berlaku selepas sejam perlawanan berlangsung, pemain yang setahun tidak bermain, Syazwan Tajudin mengalami kecederaan dan terpaksa digantikan oleh pemain tengah bertahan, Amirul Hisyam di bek tengah.
Kedah semakin hilang arah apabila pemain tengah tuan rumah, Natxo Insa berhasil menambah jurang gol pada minit ke-68. Percubaan leret deras daripada luar kotak penalti terbias kaki Amirul Hisyam yang telah mengelirukan dan menewaskan Shahril Sa’ari. Itu adalah gol pertamanya selepas kali terakhir menjaringkan gol pada 2018.
Tiada apa yang mampu dilakukan oleh Aidil Sharin apabila kehilangan beberapa tonggak utama di benteng dan menyaksikan JDT berterusan menguasai perlawanan.
JDT akhirnya berjaya mengekalkan Piala Sumbangsih di bumi Johor buat kali ke-4 berturut-turut sejak musim 2018 apabila pengadil perlawanan meniup wisel penamat menyaksikan Kedah turut kehilangan mata dalam aksi pertama musim ini.
KREDIT FEATURED IMAGE: JST