Terengganu menjadikan Sri Pahang seperti pasukan perlawanan persahabatan apabila membelasah tanpa kasihan dengan berpesta jaringan 9-3 secara agregat.
Dalam perlawanan kedua pusingan 16 terakhir Piala Malaysia, tuan rumah tiada masalah untuk mencatat kemenangan 4-2 meskipun bermain tanpa seorang pemain.
Dua jaringan oleh Kpah Sherman dan satu jaringan dari Faisal Halim serta Azam Azmi sudah cukup untuk memastikan Terengganu mara ke suku akhir.
Sementara dua jaringan yang dihasilkan Lee Tuck dan Steven Rodriguez untuk melakukan kebangkitan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin tidak kesampaian untuk mengubah keputusan perlawanan.
Terengganu yang sudah mempunyai kelebihan dari segi jaringan tetap turun dengan mengamalkan corak permainan menyerang.
Sementara Sri Pahang pula melakukan sedikit pertukaran dengan menurun beberapa pemain di kesebelasan utama seperti Lee Tuck, Sergio Fabian dan Fandi Othman dengan harapan dapat melakukan kejutan dalam perlawanan ini.
Namun begitu, Terengganu tidak memerlukan masa yang lama apabila membuka tirai jaringan awal pada minit ke-2 menerusi Sherman untuk mendahului perlawanan 1-0.
Tersentak dengan jaringan awal, Sri Pahang kembali menyusun permainan dan berjaya melakukan beberapa serangan berbahaya namun penjaga gol Terengganu, Suhaimi Husin berjaya menafikannya.
Sri Pahang mempunyai peluang terbaik pada minit ke-20 untuk menyamakan kedudukan namun sentuhan terakhir oleh Rodriguez yang kurang baik menyebabkan peluang itu terlepas begitu sahaja.
Keadaan padang yang basah akibat hujan sebelum perlawanan menyebabkan kedua-dua pasukan mengalami kesukaran untuk melakukan hantaran pendek.
Terengganu terus mengukuhkan kedudukan apabila kali ini Faisal Halim pula meletakkan nama beliau selaku penjaring pada minit ke-23.
Satu pujian harus diberikan kepada Sherman apabila tidak tamak untuk menjaringkan gol biarpun peluang terbuka untuk dirinya.
Tuan rumah terus bernafsu dalam mencari jaringan dan Azam Azmi meletakkan Terengganu selesa mendahului 3-0
selepas gerakan cantik dari rakan sepasukan.
Bagaimanapun skuad kendalian Nafuzi Zain menerima tamparan apabila pemain pertahanan mereka, Shahrul Nizam diberikan kad merah selepas menarik pemain lawan yang sedang berhadapan peluang untuk menjaringkan gol.
Biarpun kurang seorang pemain, ia tidak mematahkan semangat pemain sebaliknya terus menyerang untuk menambah jaringan.
Dua minit sebelum tamat separuh pertama, Terengganu dihadiahkan sepakan penalti selepas Faisal dijatuhkan di dalam kotak penalti.
Sherman yang mengambil sepakan tersebut tidak mempersiakan peluang terbaik untuk memastikan dirinya mencatat gol kedua peribadi dalam perlawanan ini dan mendahului 9-1 secara agregat.
Pujian harus diberikan kepada Faisal kerana beberapa gerakan dari beliau berjaya menghasilkan jaringan.
Sri Pahang dilihat agak sukar untuk mengambil kesempatan menebusi gawang gol Terengganu biarpun mereka bermain dengan 10 orang sahaja.
Anak buah Dato’ Dollah Salleh cuba pelbagai cara untuk mendapatkan jaringan namun pemain Terengganu berjaya mengekang asakan dan bertahan dengan baik termasuk ketangkasan Suhaimi untuk menyelamatkan beberapa percubaan bahaya setakat 70 minit permainan.
Sebaliknya anak buah Nafuzi terus menlancarkan serangan dari pelbagai arah dalam usaha menambah jumlah jaringan.
Faisal hampir menambah jaringan kedua peribadi namun jaringan beliau dibatalkan apabila beliau terlebih dahulu disahkan berada dalam kedudukan ofsaid.
Gol yang dicari akhir menjelma jua apabila Tuck berjaya memecah kebuntuan Sri Pahang pada minit ke-71 untuk gol pertama pasukan pelawat.
Sri Pahang cuba melakukan kebangkitan saat akhir dan berjaya mendapatkan gol kedua pada minit ke-82 menerusi Rodriguez.
Kedudukan kekal sehingga tamat perlawanan dan tuan rumah meneruskan kemaraan ke pusingan seterusnya.