Piala Malaysia: Sathianathan Tembak Analisis SemuanyaBOLA, Kecewa Pemain Persiakan Peluang

Pasukan Selangor sekali lagi gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri selepas hanya mencatat keputusan seri 1-1 menentang Melaka United dalam perlawanan yang berlangsung malam tadi di Stadium Shah Alam.

Pemain sayap Selangor, Khyril Muhymeen meletakkan Selangor di hadapan pada minit ke-38 menewaskan Khairul Fahmi Che Mat sebelum Melaka bangkit menyamakan kedudukan menerusi jaringan jarak jauh oleh Saiful Ridzuan Selamat pada minit ke-48.

Ketua Jurulatih Selangor, B. Sathianathan jelas tidak gembira dengan keputusan tersebut kerana sekali lagi anak buahnya membenarkan pasukan lawan bangkit untuk mengikat kedudukan setelah mereka mendahului.

“Saya tidaklah begitu gembira, tetapi pemain saya telah berikan yang terbaik. Kita ada peluang terbaik pada separuh masa pertama tetapi pada separuh masa kedua kita bermain sedikit perlahan,” kata jurulatih berusia sewaktu ditembual selepas perlawanan.

“Sebahagian daripada pemain ini saya tahu mereka agak keletihan. Saya tahu perasaannya. Bukan mudah untuk terus bermain di atas padang yang tidak begitu baik ini.

“Kita ada peluang, tetapi kita tidak manfaatkan peluang tersebut.” kata beliau lagi.

Dalam sidang media bersama wartawan selepas perlawanan, Sathianathan menafikan beliau seorang jurulatih yang suka beralasan.

“Orang kata saya selalu bagi alasan, tapi itu realiti ya.”

Dan secara tiba-tiba beliau sempat melepaskan geramnya kepada SemuanyaBOLA di atas laporan berita melibatkan pasukannya sebelum ini.

“Di sini ada siapa daripada SemuanyaBOLA? Tiada? Sepatutnya dia ada sini.

“Terer [handal] cakap semua, tulis terer [handal]. Tulis senanglah, saya pun boleh tulis. Realiti itu lihat sikit. Jangan jadi buta. Lepas itu dia analisis pun saya rasa dia boleh jadi jurulatih di JDT.” tempelak jurulatih berusia 61 tahun itu.

Enggan menyalahkan faktor jerebu, menurut Sathianathan masalah pasukan itu bukanlah mengenai isu kecergasan, tetapi kurang disiplin dalam aspek bertahan.

Ditanya mengenai perancangannya untuk perlawanan terakhir peringkat kumpulan yang akan berlangsung di Stadium Tun Abdul Razak beberapa hari lagi., bekas jurulatih kebangsaan itu mengakui pasukan Felda United bukanlah pasukan yang mudah untuk dijinakkan

Jelas beliau, The Red Giants sudah beberapa kali berdepan masalah apabila bertemu pasukan tersebut termasuk kekalahan dalam saingan Piala FA. Namun beliau mengingatkan bahawa rekod menunjukkan mereka pernah menang 1-0 di Jengka pada musim ini.

“Kedudukan kita jika seri [dengan Felda United] sekalipun kita akan layak [ke peringkat suku akhir] kerana [perbezaan] jaringan kita.

“Bagi saya layak [ke suku akhir] sudah cukup kerana semua pasukan yang layak ke suku akhir adalah pasukan yang kuat.”

Menjawab mengenai kecederaan yang menimpa Khyril Muhymeen, Sathianathan menjelaskan dalam bola sepak, isu kecederaan memang tidak boleh dijangka.

“Saya nampak macam serius, itu yang saya kena jumpa doktor pakar kita. kita akan tahu [keputusannya] esok.. Jadi pemain lain kena fokus dan berikan yang terbaik.”

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN