Sabah terpaksa berhempas pulas untuk mengesahkan tempat ke suku akhir selepas menewaskan Universiti Teknologi Mara (UiTM) 3-2 secara agregat dalam saingan Piala Malaysia 2022.
Skrip sama hampir berulang seperti perlawanan pertama apabila UiTM begitu garang di minit akhir permainan dan hampir menghukum kelalaian pemain Sabah.
Kemaraan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee menghidupkan peluang mereka untuk memburu slot ke Piala AFC selepas terlepas di perlawanan terakhir Liga Super baru-baru ini.
Bagaimanapun, perlawanan tertunda hampir 45 minit selepas cuaca di Stadium Likas tidak mengizinkan mereka bermula pada waktu yang ditetapkan.
Biarpun mempunyai kelebihan satu jaringan, anak-anak buah Kim Swee tetap mempamerkan taktikal menyerang dalam usaha mencari jaringan awal untuk mematikan momentum UiTM dari melakukan kebangkitan.
Namun begitu, dengan keadaan padang yang basah akibat hujan menyebabkan permainan kedua-dua pasukan tersedikit terganggu.
Sabah menguasai hampir keseluruhan 45 minit pertama dengan serangan demi serangan dari pelbagai arah namun mereka masih gagal menemui jaringan.
UiTM pula dilihat lebih bermain secara bertahan dan akan melakukan serangan balas apabila berpeluang.
Sabah mempunyai peluang terbaik pada minit ke-20 menerusi pemain tengah mereka, Irfan Fazail tetapi percubaan tersebut tersasar.
UiTM yang cuba melakukan serangan dan hampir mengejutkan tuan rumah namun penjaga gol Sabah, lebih awal keluar untuk menafikan percubaan itu.
Skuad kendalian Kim Swee tersenyum seketika apabila pemain beliau berjaya memecah kebuntuan namun penjaga garisan terlebih dahulu mengangkat bendera apabila Nazirul Naim di kesan berada di dalam kedudukan ofsaid.
Pujian harus diberikan kepada penjaga gol UiTM, Robson Rendy apabila terpaksa bekerja keras di separuh masa pertama untuk memastikan gawang beliau terus terselamat dari dibocori.
Skuad kendalian, Ismail Ibrahim melihat UiTM masih mempunyai dan memulakan permainan dengan corak menyerang di separuh masa kedua dan beberapa kali serangan mereka hampir membuahkan hasil.
Anak buah Kim Swee tidak mengendurkan rentak permainan sebaliknya terus mencari idea dalam serangan agar setiap asakan mereka boleh menghasilkan gol.
Jaringan yang dicari oleh tuan rumah akhirnya menjelma apabila Farhan Roslan meletakkan Sabah di depan 1-0 selepas mudah menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-66.
Beberapa minit kemudian, Farhan sekali lagi mempunyai peluang untuk meledak gol kedua namun peluang keemasan itu dilepaskan begitu sahaja.
15 minit terakhir, Kim Swee melakukan tiga pertukaran sekali gus bagi memastikan bahagian serangan mereka lebih teratur untuk memburu jaringan.
Kemasukan mereka memberi nafas baharu namun peluang yang tercipta masih gagal diterjemahkan dalam bentuk jaringan.
UiTM yang ketinggalan tidak terus menyerah kalah sebaliknya terus menyerang dan berjaya mendapatkan jaringan pada masa kecederaan menerusi Farez Aiman.
Namun jaringan itu sudah terlewat untuk menghalang kemenangan Sabah.
Kedudukan 1-1 bertahan sehingga tamat permainan untuk memastikan skuad Sang Badak meneruskan saingan ke pusingan seterusnya.
Mereka akan berjumpa Kuching City selepas ini yang menewaskan Penang.