Pengendali pasukan Terengganu, Nafuzi Zain mengakui agak kecewa dengan kekalahan di tangan Negeri Sembilan. Namun beliau memberikan kredit kepada pasukan Negeri Sembilan yang disifatkan beliau beraksi dengan baik.
Nafuzi menyatakan, dia berpuas hati dengan persembahan para anak buahnya. Cuma beberapa kesilapan mereka membuatkan mereka melepaskan gol. Negeri Sembilan mendahului 2 gol seawal 4 minit pertama perlawanan.
Terengganu merapatkan kedudukan sebelum rehat separuh masa. Namun Negeri Sembilan menambah 1 lagi gol pada minit ke-65. Terengganu merapatkan kedudukan sekali lagi pada minit akhir perlawanan.
Namun Negeri Sembilan berjaya memastikan mereka mendapat kemenangan sulung mereka dalam kempen Piala Malaysia musim ini.
Nafuzi berkata: “Pertama sekali, tahniah kepada pasukan Negeri Sembilan yang bermain dengan sangat baik malam ini.”
“Bagi persembahan pasukan saya [Terengganu], walaupun tewas, tetapi, secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan permainan kami. Kita bermain seperti apa yang kita rancang. Kita terlepas banyak peluang gol. Tetapi kita dihukum oleh kesilapan kita sendiri.”
“Saya rasa, ini adalah satu ‘wake up call’ ataupun peringatan kepada para pemain Terengganu, walaupun sebelum ini, sudah beberapa perlawanan kita tidak tewas.”
“Jadi [selepas kekalahan ini], kita tahu bahawa setiap perlawanan itu adalah sukar, walaupun berhadapan dengan lawan daripada Liga Perdana. Untuk perlawanan ini kita dah tewas. Untuk perlawanan seterusnya, kita tidak akan ambil mudah.”
"Kami tewas tetapi telah beraksi dengan baik"
Ini merupakan reaksi ketua jurulatih @FCTerengganu, Nafuzi Zain selepas tamat perlawanan #N9TER di Stadium Tuanku Abdul Rahman.#PialaMalaysia2019#MFLLive pic.twitter.com/YlXJeyL7Nd
— MFL LIVE (@MFL_Live) August 23, 2019
Beliau sekali lagi mengingatkan para pemainnya bahawa setiap perlawanan adalah sukar.
“Kita akan perbaiki kesilapan, tingkatkan usaha lagi. Dan kita masih ada baki 2 perlawanan lagi, itu pun kita masih belum layak lagi. Harap kita dapat perbaiki kesilapan kita pada hari ini.”