Piala Malaysia: Mampu Atau Tidak Untuk Kelantan Cipta Kebangkitan Di SSI?

Kelantan bakal berdepan misi getir mereka pada malam ini dalam saingan Piala Malaysia 2022 peringkat suku akhir untuk mencipta kebangkitan pada perlawanan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT).

Tewas 0-3 pada perlawanan lalu di laman sendiri, pastinya skuad kendalian Rezal Zambery Yahya tidak rela untuk terus menjadi mangsa kepada juara Liga Super itu pada aksi suku akhir kedua ini.

Beraksi di gelanggang lawan, Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, pastinya mereka bakal menghadapi tekanan seperti pasukan-pasukan lain yang pernah bertandang menerusi sorakan padu penyokong JDT sepanjang 90 minit aksi berlangsung.

Buat JDT, mereka jelas tampil tanpa sebarang tekanan untuk perlawanan malam ini berdasarkan segala kelebihan dimiliki mereka serta berbekalkan tiga jaringan sebelum itu.

Walaupun begitu, skuad kendalian Hector Bidoglio ini dijangka tidak akan mengambil mudah perlawanan tersebut, dan pastinya ingin memberikan yang terbaik buat para penyokong setia mereka di laman sendiri.

Selaku salah satu pasukan pilihan, JDT dilihat tidak akan melepaskan sebarang peluang terhidang mereka dalam misi untuk melengkapkan trofi kejuaraan mereka musim ini, sekaligus mendapat gelaran treble yang diidamkan.

Jika diimbas pada perlawanan lalu, JDT telah memberi pengajaran penting buat Kelantan dari segi pengalaman dimiliki, kualiti permainan, serta jurang stamina kedua pasukan tersebut yang berbeza.

Namun, dijangka saingan malam ini tampil dengan lebih sengit berdasarkan kualiti padang serta Kelantan yang dilihat mahu mencipta kejutan.

Tiga pemain tumpuan untuk aksi malam ini terarah kepada tonggak Kelantan iaitu Kenta Hara serta dua tunjang kekuatan JDT, Bergson da Silva bersama Arif Aiman Hanapi.

Kenta Hara (Kelantan)

Pemain import Kelantan itu mula menyertai pasukan tersebut pada pertengahan ini untuk menggantikan khidmat import dari Indonesia iaitu Natanael Siringoringo.

Kemasukan beliau sebenarnya tidak begitu memberi impak, ekoran aksinya sering dibayangi oleh kelibat Siringoringo sebelum itu buat segelintir penyokong Kelantan.

Namun, pemain ini dilihat masih penting apabila mampu menawarkan kepantasan serta skil individu beliau untuk membantu taktikal serangan balas pasukan bagi mengejutkan tuan rumah.

Bergson da Silva (JDT)

Apa lagi boleh diperkatakan mengenai Bergson, apabila terbaharu beliau berjaya menjadi salah seorang penjaring terbanyak dunia untuk tahun 2022 sebaris Erling Haaland dan Kylian Mbappe.

Tonggak utama JDT dari Brazil ini menjadi salah seorang peledak gol ketika aksi suku akhir pertama mereka ketika menentang Kelantan.

Berbekalkan pakej kekuatan fizikal, kepantasan, serta bijak menghidu peluang, aksi Bergson pastinya akan terus dikawal ketat oleh pertahanan pelawat untuk mengelakkan beliau terus meleak gol.

Arif Aiman Hanapi

Tiga bantuan gol telah dicatat oleh Arif pada musim ini dalam saingan Piala Malaysia untuk meletakkan nama beliau sebaris bersama Faisal Halim yang mewakili Terengganu.

Tampil dengan usia masih muda, Arif mempunyai kekuatan fizikal yang sangat bagus walaupun bertubuh kecil untuk mengatasi pertahanan lawan.

Ditambah stamina beliau yang tinggi, pemain ini sering menyusahkan pihak lawan menerusi larian-larian deras serta kualiti hantaran yang sangat baik untuk mencari rakan serangan.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN