Satu jaringan daripada Kpah Sherman pada lewat masa tambahan kedua permainan menyaksikan kini Sri Pahang kembali ke pentas akhir Piala Malaysia 2024/2025 selepas penantian selama 11 tahun.
Malah, ini menjadikan suatu perlawanan yang sangat ikonik akan terjadi kerana Tok Gajah bakal mencipta pertemuan semula bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) di pentas akhir selepas pertembungan kedua kelab itu pada kejohanan tersebut sejak 2014.
Ibarat suatu magis buat Fandi Ahmad, setelah kejayaan beliau untuk membawa kembali Sri Pahang ke pentas akhir setelah para peminat mendambakan perkara berkenaan berlaku sejak sekian lama.
Kemenangan 3-2 secara agregat mengatasi Sabah di Stadium Minit Temerloh menyaksikan Sri Pahang melakar suatu kejutan sebenarnya dalam kalangan peminat bola sepak tempatan kerana jika dibandingkan reputasi semasa antara kedua pasukan, ia lebih memihak kepada pelawat.
Namun, itulah bola sepak apabila Tok Gajah yang tampil kurang menyakinkan pada persaingan Liga Super secara konsisten mencipta kejayaan untuk ke pentas akhir Piala Malaysia musim ini.
Pada aksi tersebut, kami menyenaraikan tiga pemain terbaik Sri Pahang dengan salah seorang daripada mereka sudah tentu terarah kepada Kpah Sherman.
Kpah Sherman: Kualiti kepimpinan & tajam di hadapan gol
Kpah pada aksi ini bertindak selaku kapten Sri Pahang dan menjadi penggempur utama pasukan untuk mendapatkan gol serta mengatasi pertahanan lawan.
Jaringan lewat beliau yang bijak menyudahkan hantaran cantik David Rowley memastikan Tok Gajah akhirnya berjaya melangkah ke pentas akhir serta menamatkan penantian 11 tahun pasukan itu ke final Piala Malaysia.
Selain itu, Kpah mempamerkan kerajinan cukup tinggi untuk membantu rakan sepasukan lain membuka peluang ke arah gol serta bijak memberi arahan untuk memastikan segalanya berjalan lancar.
Ibrahim Manusi miliki stamina dan kerajinan terbaik
Sepanjang aksi berlangsung, Ibrahim antara paling mencuri tumpuan menerusi kerajinan beliau bergerak serata padang untuk membantu Tok Gajah kekal dalam penguasaan permainan.
Ketenangan beliau mengawal bola antara wajar diberi pujian selain pemain tersebut bijak memberi tekanan tinggi kepada pemain lawan untuk mengkucar kacirkan setiap pergerakan cuba dicipta pelawat.
Malah, stamina beliau pada aksi itu juga antara wajar diberi pujian kerana beliau kekal berlari dan berada di serata arah sehingga ke wisel penamat.
David Rowley hadir tepat pada masa buat Sri Pahang
Dibawa masuk selaku pemain gantian pada penghujung separuh masa kedua, harapan tinggi diletakkan oleh Fandi Ahmad tentunya untuk memastikan siri serangan pasukan itu bertambah baik.
Hasilnya, Rowley membalas kepercayaan tersebut menerusi satu hantaran cukup berkualiti yang disudahkan dengan sangat sempurna oleh Sherman yang memacu pasukan itu ke final.
Bekas pemain Harimau Malaya ini juga mempamerkan kerajinan yang baik untuk membentuk gandingan lebih bertenaga bersama Sherman menerusi kekuatan fizikal dimiliki.