Johor Darul Ta’zim (JDT) kini boleh dianggap sudah pun berada selangkah sahaja lagi untuk terus melayakkan diri ke pentas akhir Piala Malaysia 2024/2025 jika dilihat pada aksi lalu serta reputasi semasa mereka.
Terdahulu, JDT tampil unggul di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) menerusi kemenangan besar 4-0 mereka mengatasi Sang Penyu pada aksi separuh akhir pertama kejohanan tersebut.
Tampil menyakinkan sejak wisel awal perlawanan dibunyikan, jaguh bola sepak Malaysia itu tidak menghadapi begitu banyak kesukaran untuk mengetepikan cabaran tuan rumah.
Malah, momentum tersebut berjaya diteruskan pada aksi Liga Super ketika mereka menghadapi pasukan sama apabila skuad kendalian Hector Bidoglio tenang mengatasi lawan menerusi kemenangan 1-0.
Bagi aksi hari ini, JDT bakal menghadapi cabaran Terengganu di laman sendiri pula iaitu Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor dalam misi untuk terus melayakkan diri ke pentas akhir.
Atas kertas, jelas JDT tidak menghadapi sebarang isu untuk meraih keputusan positif jika dilihat pada prestasi semasa mereka bagi menghadapi cabaran pelawat.
Namun, Hector tampil dengan pendekatan lebih berwaspada serta tidak menganggap bekalan empat gol lalu sebagai suatu kelebihan besar buat Harimau Selatan.
Apatah lagi beliau melihat aksi sengit ketika JDT mencatat kemenangan 1-0 mengatasi Terengganu lalu sebagai suatu pengajaran terbaik mengenai lawan mampu memberi cabaran besar sepanjang aksi berlangsung.
“Itu bukan kualiti sebenar JDT beraksi apabila hampir terperangkap dengan taktik permainan Terengganu yang cuba ambil kesempatan menerusi serangan balas yang bagi saya mampu menidakkan kemenangan kami pada aksi liga.
“Oleh itu pada aksi separuh akhir kedua yang menjadi penentu untuk mara ke final, kami harus lebih agresif dan juga perlu berwaspada kerana kelebihan empat gol ke atas lawan bukanlah jaminan sebaliknya kami perlu merangka taktikal yang lebih ampuh bagi menghasilkan gol untuk jaminan ke pentas final.
“Apa yang saya inginkan katakan dalam sukan bola sepak pelbagai kemungkinan boleh berlaku, jadi saya perlu ingatkan pemain supaya tidak boleh terlalu selesa dengan apa yang kita capai dan sentiasa fokus kepada diri sendiri dan memperagakan aksi terbaik sepanjang 90 minit permainan,” kata beliau menerusi perkongsian Harian Metro.
Pada masa sama, Bidoglio juga menuntut para pemain serangan seperti Bergson da Silva, Arif Aiman Hanapi, Romel Morales, dan lain-lain tidak mempersiakan setiap peluang pada perlawanan tersebut.
Dijangka aksi lebih sengit bakal ditampilkan kedua pasukan itu dengan Terengganu sudah tentu tidak ingin memberi laluan mudah kepada pasukan tuan rumah.