Skuad Helang Merah tekad pamerkan aksi terbaik dalam misi untuk meraih kemenangan pertama Piala Malaysia musim ini apabila dijadualkan bertemu MISC-MIFA di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam ini.
Penolong Ketua Jurulatih Kedah, Azzmi Aziz berkata kepada Kosmo, pemain-pemain Kedah perlu memastikan mereka tidak berputih mata dalam mengutip mata penuh pada perlawanan itu sekiranya mahu menghidupkan peluang untuk layak ke peringkat suku akhir Piala Malaysia musim ini.
“Berbekalkan hanya satu mata setakat ini, kita tiada pilihan lain kecuali mengutip tiga mata dengan kelebihan beraksi di laman sendiri.
“Jika ini berhasil, kita masih berpeluang untuk mara pada saingan dalam Kumpulan C,” katanya.
Azzmi juga mengakui skuad MISC-MIFA tidak boleh dipandang rendah memandangkan pasukan itu berjaya mengecewakan Johor Darul Ta’zim (JDT) 2-1 dan Kelantan 2-0 sebelum ini.
“Pemain harus bangkit mencari formula kemenangan pada aksi kali ini walaupun berdepan situasi dan cabaran getir selepas sekadar mengumpul satu mata dalam dua perlawanan awal,” katanya.
“Mereka tekad mahu menghidupkan peluang kerana kebanyakan mereka sudah memiliki pengalaman selama tiga tahun beraksi di pentas final Piala Malaysia.
“Atas faktor ini mereka masih mahu mengulangi kejayaan yang sama pada musim ini,” katanya.