Impian Penang FC melakar tiga mata di laman sendiri diranapkan oleh Romel Morales di penghujung aksi untuk KL City mengikat Harimau Kumbang dengan keputusan 1-1 dalam aksi kedua Piala Malaysia.
Penang FC turun dengan perubahan di benteng selepas kalah mengejut kepada Sarawak United pada hujung minggu lalu dengan kemasukkan Latiff Suhaimi bergandingan bersama Ryuji Utomo. Mereka juga merehatkan Quentin Cheng buat kali pertama musim ini dan Khairul Akmal Rokisham telah mengambil alih posisinya.
Safee Sali sekali lagi mengemudi jentera serangan pada malam ini buat KL City apabila kelibat Paulo Josue dilihat berada di bangku simpanan. Daniel Ting yang cemerlang tempohari turut dilihat dikekalkan.
Aksi dilangsungkan dalam keadaan hujan di Stadium Bandaraya dengan penguasaan seimbang antara kedua-dua pasukan. Asakan berbahaya gagal dicipta oleh kedua-dua pasukan sepanjang babak pertama.
Peluang terbaik KL City hadir di minit ke-20 menerusi sepakan percuma oleh bek kiri, Daniel Ting, namun berjaya diselamatkan Sam Somerville yang melalui pengalaman perit minggu lalu – melepaskan tiga gol.
Padang yang basah dan lembab menyebabkan aksi agak perlahan telah disajikan kedua-dua pasukan.
Tidak lama kemudian, giliran tuan rumah pula untuk mengasak, namun hantaran lambung Amer Azahar tampak terlalu tinggi buat kapten, Endrick dos Santos yang sudah berada di depan gawang pelawat.
Babak kedua bermula dengan kemasukkan Paulo Josue menggantikan Safee Sali untuk menolak Romel Morales menjadi penyerang tunggal. Namun, tampak ia masih gagal untuk memperbaiki permainan.
Tuan rumah dilihat hadir menerusi percubaan pemain sayap, Amer Azahar dari sebelah kiri, namun ia hanya tersasar daripada gawang yang dikawal Kevin Mendoza pada minit ke-58, sementara peluang buat pelawat pula menerusi tandukkan Romel Morales di minit ke-64, namun ia terbias kepada pertahanan lawan.
Serba tidak menjadi, pengendali Penang FC, Tomas Trucha membuat kejutan dengan memasukkan dua pemain yang belum pernah menghadirkan impak buat pasukan, Jafri Firdaus Chew dan D. Saarvindran.
77' Gol | Sheriddin Boboev memecah kebuntuan di Stadium Bandaraya!
@fa_penang 1-0 @KLCityFootball #TMPialaMalaysia2021 pic.twitter.com/eJva9bDdQZ
— Malaysian Football League (@MFL_MY) September 29, 2021
Hasilnya di minit ke-77, Sheriddin Boboev melepaskan rembatan lencong ke pintu gol pelawat yang gagal diselamatkan Kevin Mendoza apabila ada gangguan oleh Casagrande untuk jaringan pembukaan.
Ketinggalan menyebabkan KL City meningkatkan tempo permainan mereka serta turut memasukkan Ryan Lambert dan Indra Putra Mahayuddin untuk menambah lebih sengat di jentera serangan mereka. Namun, ia dilihat masih lagi gagal untuk memperbaiki kelemahan permainan mereka dalam perlawanan malam ini.
Menuju wisel penamat, jaringan Romel Morales berjaya menyelamatkan KL City untuk mengikat kedudukan apabila hantaran jauh oleh Irfan Zakaria dari zon mereka ditanduk Giancarlo Gallifuoco ke depan pintu gol sebelum disambarnya untuk menewaskan benteng dan juga penjaga gol Penang FC, Sam Somerville.
KL City berjaya mencuri satu mata di Stadium Bandaraya untuk belum tewas dalam dua aksi dan Penang FC seharusnya berasa lega sekurang-kurangnya melakar mata pertama dalam saingan Piala Malaysia.