Adakah siri kejayaan 2014 yang pernah dilakar Sri Pahang mampu diulangi kembali pada musim ini dalan aksi Piala Malaysia? Mungkin itu persoalan yang sedang berlegar di kalangan peminat Tok Gajah.
Setelah tampil dengan sedikit suram pada aksi Piala FA dan saingan Liga Super, mungkin ini bakal menjadi detik terbaik buat pasukan tersebut untuk merawati hati para peminat kesayangan mereka.
Malah, pasukan tersebut juga tidak terlepas untuk menghadapi masalah kebanyakan kelab di Malaysia musim ini iaitu daripada segi tunggakan gaji yang pernah berlegar di media sosial sejak beberapa bulan lalu.
Tanpa sebarang detik terbaik dan siri kejayaan untuk begitu membanggakan, skuad kendalian Fandi Ahmad perlu menggunakan peluang terhidang ini untuk sekurangnya melayakkan diri mereka ke pentas akhir Piala Malaysia musim 2024/2025.
Walaupun tidak banyak yang tampil memberi perhatian kepada pasukan tersebut dalam aksi tersebut, siapa sangka mereka kini hanya selangkah sahaja lagi untuk ke pentas akhir.
Malaysia Cup: Semifinal date confirmed, let's go Tok Gajah! #sripahang #wherelegendsareborn #voltrafootball pic.twitter.com/e7Dqu2HIIG
— Sri Pahang FC (@OfficialPahang) December 25, 2024
Walaupun begitu, cabaran di pentas separuh akhir bukan suatu yang mudah untuk dihadapi Sri Pahang kerana mereka bakal berdepan salah satu pasukan pilihan utama iaitu Sabah.
Dua aksi separuh akhir bakal dihadapi Tok Gajah ini jelas merupakan suatu cabaran getir yang perlu ditangani Fandi bersama para pemain dengan sepenuh jiwa jika mereka impi aksi ulangan 2014 sekali lagi terlakar.
Malah, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sri Pahang iaitu Datuk Mohammed Suffian Awang juga menuntut para pemain pasukan itu tampil berdisiplin pada aksi separuh akhir jika impi mara ke final.
“Bagi saya, semua pemain perlu meneruskan momentum dan persembahan terbaik dalam usaha menafikan Sabah yang pasti turut sama mahu beraksi di pentas akhir piala berprestij itu musim 2024/2025.
“Namun, tidak dinafikan bahawa Sabah adalah sebuah pasukan yang perlu dihormati tetapi pada masa sama, Sri Pahang perlu tampil dan menjelmakan disiplin permainan terbaik dan berusaha mencipta kejayaan.
“Perkara utama yang perlu dilakukan ialah mengelak daripada mengalami kecederaan dan lebih mengamalkan gaya permainan serta disiplin tinggi seperti yang diarahkan ketua jurulatih (Fandi Ahmad),” kata beliau menerusi Harian Metro.
Pada masa sama, Suffian juga mengakui aksi di pentas akhir tersebut juga merupakan sebuah harapan yang bukan hanya diimpikan kelab tetapi merangkumi para peminat serta rakyat Pahang sendiri sejak kelibat kali terakhir mereka di sana pada tahun 2014.
“Oleh itu, SPFC dan barisan kejurulatihan dan pemain memohon doa dan sokongan daripada semua untuk memastikan kenikmatan berada di pentas akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil nanti.
“Tiada yang mustahil kepada semua pemain untuk merealisasikan impian berkenaan jika berjaya menyekat Sabah,” kata beliau akhir sekali.