Menjelang aksi pembukaan kumpulan B, Unifi Piala Malaysia yang melibatkan pasukan FELDA United menentang Melaka United pada malam esok, rumput tiruan bakal menjadi halangan terbesar skuad Hang Tuah untuk menyesuaikan diri.
Perkara itu diakui jurulatih E Elavarasan kepada Berita Harian apabila pasukannya akan bertemu skuad tuan rumah di Stadium Tun Abd Razak, Jengka, Pahang.
Elavarasan berpendapat ianya sudah tentu akan berpihak kepada skuad kendalian B. Sathianathan itu kerana sudah biasa yang permukaan padang tiruan yang akan membuatkan pengerakan bola menjadi lebih laju daripada kebiasaannya.
“Apa pun, kekurangan itu bukan pemisah untuk pemain menafikan keistimewaan lawan, sebaliknya tetap memberi tekanan sepanjang permainan untuk meraih mata berharga.
“Semua kemungkinan mampu berlaku dan jika kena pada tempo permainan sebenar, sudah pasti pemain bakal bertindak luar jangkaan dengan menampilkan aksi terbaik di gelanggang terbabit,” katanya.
Justeru, beliau mengharapkan pemain mampu memastikan gelanggang bukan faktor penentu kemenangan kepada mana-mana pasukan kerana apa yang penting baginya adalah persefahaman jitu dalam kalangan pemainnya.