Sri Pahang secara rasminya bakal menghadapi Sabah pada hari ini bagi aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia musim 2024/2025 bagi menentukan siapa bakal mendapat satu lagi slot ke pentas final.
Terdahulu, kedua pasukan menampilkan aksi cukup sengit apabila masing-masing terikat 1-1 sewaktu perlawanan berlangsung di Likas yang merupakan laman rasmi Sabah.
Tampil terikat seri, debaran terus terasa kerana masing-masing tidak boleh menjangkakan siapa bakal melangkah ke pentas akhir sehingga ia dinoktahkan pada hari ini di Temerloh.
Jika dilihat pada kekuatan semasa serta kualiti pemain, jelas ia lebih memihak kepada Sabah yang tampil seimbang di segenap posisi jika dibandingkan Tok Gajah.
Manakala Sri Pahang hari ini bakal tampil sedikit tempang selepas mereka kehilangan khidmat Manuel Hidalgo akibat layangan kad merah sebelum itu di Likas.
Bagi aksi hari ini, Semuanya BOLA menyenaraikan tiga pemain tumpuan bagi kedua pasukan tersebut yang dijangka bakal memainkan peranan cukup penting sepanjang aksi berlangsung.
Kpah Sherman
Penyerang berbisa dari Liberia tersebut sudah tentu akan terus ditagih untuk menghidupkan jentera serangan Sri Pahang menerusi reputasi tinggi beliau pada saingan musim ini.
Musim ini menyaksikan Kpah sudah pun merekodkan tujuh gol bersama dua bantuan jaringan secara keseluruhan daripada 19 perlawanan diharungi.
Kualiti Sherman bukan sahaja terarah kepada ketajaman beliau di hadapan gawang gol, tetapi beliau juga mempunyai kreativiti mengatur serangan serta memiliki kekuatan fizikal bagi mengatasi pertahanan lawan.
Stuart Wilkin
Pemain tengah serangan Harimau Malaya ini seperti diketahui ramai mempunyai kualiti cukup menyakinkan untuk mengatur serangan menerusi visi dan ketenangannya mengawal bola.
Salah satu keupayaan Wilkin terarah kepada kualiti hantaran tepat beliau untuk mencari rakan serangan serta kebolehan melepaskan rembatan deras dari luar petak penalti.
Dijangka pemain ini bakal menjadi pilihan utama Sabah dalam usaha mereka untuk memecahkan disiplin pertahanan Sri Pahang demi memburu gol di gelanggang lawan.
Joao Pedro
Ketajaman pemain dari Brazil tersebut sudah tentu ditagih pasukan pelawat pada perlawanan hari ini demi memastikan mereka mampu melangkah ke pentas akhir.
Merekodkan satu gol setakat ini di pentas Piala Malaysia, sudah tentu Pedro mahu statistik itu terus bertambah dan menjadikan beliau antara penyerang berbisa di saingan domestik kini.
Keupayaan Pedro untuk meledak gol dari pelbagai arah serta sudut sukar menjadikan dirinya sebagai suatu ancaman cukup berbahaya buat Sri Pahang.