Piala Malaysia 2020: Jaringan Arif Aiman Bawa JDT Ke Suku Akhir

JDT

Johor Darul Ta’zim (JDT) di landasan terbaik untuk mengekalkan kejuaraan yang dimenangi pada musim lalu apabila berjaya melangkah ke peringkat suku akhir TM Piala Malaysia 2020 setelah menundukkan Kuching FA 1-0 pada aksi yang berlangsung di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin sebentar tadi.

Lebih menarik untuk diperkatakan, jaringan tunggal buat skuad gergasi bola sepak tanah air itu menjelma hasil jaringan pemain berusia 18 tahun, Arif Aiman Mohd Hanapi pada separuh masa pertama.

Berdepan lawan yang membuat penampilan sulung dalam kancah Piala Malaysia, jentera serangan JDT kelihatan sedikit tumpul walaupun memiliki beberapa peluang terhidang untuk mencatatkan kemenangan lebih besar.

Leandro Velasquez terlepas peluang untuk membuka tirai jaringan seawal minit ke-10 susulan daripada salah faham dua pemain pertahanan Kuching FA apabila rembatan leret dilepaskannya dalam kawasan penalti ditangkap kemas penjaga gol, Mohd Iqbal Suhaimi.

Berselang tiga minit kemudian, pasukan pelawat mendapat peluang di dalam kawasan penalti tetapi rembatan daripada pemain kelahiran Jepun, Yuki Tanigawa gagal menghadirkan percubaan tepat.

Aksi selepas itu terus memperlihatkan penguasaan secara terus dipamerkan JDT dengan serangan demi serangan dilancarkan dan bermula dengan percubaan dari jarak dekat oleh Diogo Luis Santo dan tandukan Aidil Zafuan Abd Radzak sekadar melewati palang gol.

Kekecewaan itu bagaimanapun ditebus pada minit ke-19 apabila Arif Aiman yang menerima umpanan hasil dadaan daripada Diogo, dengan tenang meledakkan rembatan dari jarak dekat untuk menewaskan Iqbal Suhaimi bagi memisahkan kedua-dua pasukan.

Iqbal Suhaimi nyata menjadi individu yang paling bertungkus-lumus pada perlawanan ini dan penjaga gol berpengalaman itu beberapa kali bertindak cemerlang menafikan ‘hujan’ serangan diusahakan jentera serangan JDT.

Meskipun skuad bimbingan Benjamin Mora itu bekerja keras untuk menambah jaringan, Iqbal kental bertahan untuk perlawanan berkesudahan dengan keputusan 1-0 memihak tuan rumah.

Dengan kemenangan tipis dicatatkan, JDT bakal menghadapi Kuala Lumpur pada aksi suku akhir selepas pasukan Liga Premier itu mendapat ‘bye’ apabila diundi bertemu Sabah yang terpaksa menarik diri daripada persaingan susulan COVID-19.

Kredit featured image: JOHOR Southern Tigers

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN