Terengganu FC akan turun dengan dua misi penting malam ini berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) di peringkat suku akhir Piala Malaysia 2019 iaitu mengelakkan gawang sendiri dibolosi lawan dan menjaringkan seberapa banyak gol yang termampu.
Menurut pengendali sementara Terengganu FC, Nafuzi Zain, ini bagi membolehkan mereka membawa bekalan selesa ke Larkin pada 28 September depan untuk aksi timbal balik. Sebagaimana semua sudah ketahui, Larkin adalah kubu kebal JDT.
“Misi kita tidak mahu bolos di tempat sendiri, sebaliknya pemain perlu mencari seberapa banyak jaringan sebagai bekalan sebelum aksi kedua pada 28 September ini di Stadium Tan Sri Datuk Hassan Yunos, Larkin,” memetik kenyataannya di portal Berita Harian.
“Buat peminat setia TFC, mereka harus memberi sokongan pada setiap minit bagi membangkitkan lagi semangat pemain untuk melakar kemenangan,” ujarnya sambil memohon para pemainnya agar behati-hati dengan skuad Harimau Selatan itu nanti.
Menurutnya, skuad JDT yang terkini lebih berkualiti berbanding pada musim lalu sambil menegaskan keputusan pada edisi lalu tidak lagi boleh dijadikan ukuran. Pada aksi separuh akhir Piala Malaysia 2018, Sang Penyu berhasil menjinakkan Harimau Selatan dengan keputusan 3-2 secara agregat untuk mara ke final.
Rekod dalam saingan Liga Super musim ini pula kelihatan seimbang menyaksikan dua keputusan seri dicatatkan dalam pertembungan kedua-dua pasukan di mana mereka seri 2-2 di Kuala Terengganu sebelum terikat 3-3 di pusingan kedua di Larkin.
“Bagi saya rekod sebelum ini tidak boleh dijadikan ukuran kita, sebaliknya ia adalah sejarah, tapi pemain boleh jadikan sebagai motivasi buat diri mereka sebelum turun menentang skuad itu.
“Namun kami tetap ada ramuan untuk lakar kemenangan selain kelebihan kami beraksi sebagai satu pasukan dan bukannya individu, ini yang menambah lagi kekuatan pasukan,” jelasnya.
“Pertemuan di tempat sendiri begitu penting buat kami untuk catat kemenangan,” ujarnya lagi selain menuntut para pemainnya untuk bermain bermati-matian nanti demi pasukan Terengganu FC.
“Saya harap pemain cepat panas, fokus pada setiap minit, menguasai bola, usah bagi pihak lawan selesa untuk bermain dengan bola dan tidak melakukan kesilapan yang mungkin membawa padah,” tuntutnya kepada para pemainnya.
Kredit Featured Image: Terengganu FC