Quantcast

LIGA MALAYSIA

Piala Malaysia 2019: Terengganu FC Tempah Tiket, Kedah Tumbangkan Negeri Sembilan

Aksi terakhir Kumpulan A, Piala Malaysia 2019 menyaksikan Kedah berjaya menewaskan Negeri Sembilan di Darul Aman sementara Terengganu FC mengesahkan tiket ke suku akhir, selepas menang ke atas pasukan tercorot kumpulan, PKNS FC di Shah Alam.

Kedah menjuarai kumpulan dengan mengumpul 13 mata, diikuti Terengganu FC dengan 12 mata seterusnya Negeri Sembilan di kedudukan ketiga dengan enam mata. PKNS FC menamatkan kempen di Piala Malaysia dengan hanya mengutip empat mata.

Langkah bergaya Helang Merah

Kedah terlebih dahulu bergelut memburu tiga mata penting bagi menjuarai saingan peringkat kumpulan apabila dipaksa Negeri Sembilan sehingga hampir 80 minit perlawanan sebelum berjaya meraih kemenangan 4-2 di Stadium Darul Aman, malam tadi.

Kedah yang turun tanpa Renan Alves, meletakkan Amirul Hisyam Awang Kechik selaku pertahanan tengah bergandingan bersama Shakir Hamzah telah melepaskan dua gol iaitu menerusi ledakan Igor Luiz pada minit ke-34 dan Ferris Danial Mat Nasir (66′).

Sebelum itu, Kedah berjaya menjaringkan gol pembukaan perlawanan pada minit ke-18 menerusi pemain sayap, Farhan Roslan sebelum Fernando Rodriguez meledak gol kedua pada minit ke-45. Terikat 2-2, Kedah dan Negeri Sembilan terus saling menguji benteng dan gawang lawan masing-masing.

Pemain meningkat naik, Fayadh Zulkifli memberikan kelebihan buat Helang Merah pada minit ke-78 menerusi jaringan kaki kirinya selepas percubaan Jonatan Bauman dihadang. Dan kemudian, Edgar Bernhardt menyempurnakan sepakan penalti di penghujung perlawanan untuk memberikan tiga mata penting buat Kedah.

Terengganu FC ke suku akhir

Dua gol awal di babak pertama menjadi pemisah buat Terengganu FC dan PKNS FC di Stadium Shah Alam dengan pelawat berhasil meraih kemenangan 2-0 dan mengesahkan tiket ke suku akhir.

Misi memburu tiga mata bagi memenangi persaingan merebut satu lagi slot suku akhir membuatkan Sang Penyu begitu bernafsu apabila mendahului perlawanan seawal minit ke-4, hasil jaringan pemain tengah, Sanjar Shaakhmedov, umpanan Ashari Samsudin.

Finalis edisi lalu itu tidak menunggu lama untuk gol kedua apabila giliranĀ  Tchetche Kipre pula meledak gol deras pada minit ke-9 selepas menerima hantaran cantik kapten, Lee Tuck – itu adalah jaringan ke-6 peribadinya di saingan Piala Malaysia kali ini.

Anak didik Nafuzi Zain hampir meledak jaringan ketiga di minit ke-62 menerusi percubaan Sanjar Shaakhmedov namun penjaga gol PKNS FC, Zarif Irfan berjaya menghalang dan menafikannya.

Perlawanan berakhir dengan kemenangan berpihak kepada pelawat, Terengganu FC dan lawan yang bakal dihadapi di suku akhir adalah juara Kumpulan B, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Sementara Kedah pula terpaksa menanti sehingga Jumaat bagi mengetahui lawan mereka di suku akhir antara PKNP FC atau PJ City FC yang perlawanan telah ditunda atas masalah kesihatan.

Kredit Featured Image: Malaysian Football League (MFL)