Pasukan Selangor sekali lagi mengecewakan penyokong selepas hanya mampu seri ketika berhadapan pasukan dari Liga Premier, PDRM dalam perlawanan keempat peringkat kumpulan bagi saingan Piala Malaysia.
Namun perhatian pemerhati dan peminat bola sepak negara kini terarah kepada Jurulatih Selangor, B. Satianathan yang dilihat mengamalkan sikap cakap tak serupa bikin.
Sathianathan berdalih?
Dalam satu temubual bersama wartawan Stadium Astro sebelum perlawanan menentang PDRM di Melaka berlangsung, Satianathan jelas menyalahkan “2-3 orang” pemainnya ketika Selangor hanya mampu seri ketika menentang pasukan sama di laman sendiri.
“Pemain yang tidak mahu main tersebut boleh duduk rumah. Saya nak pemain yang betul-betul nak main.”
“Ada 2-3 pemain yang saya mahu tegur. Kalau saya tidak mahu dia, saya tidak akan membawanya ke mana-mana. Biar dia sedar diri dan berehat.”
Kesebelasan utama untuk perlawanan Piala Malaysia 2019 menentang PDRM FA malam ini.
Hanya satu pertukaran dilakukan…
Posted by FA Selangor on Wednesday, August 21, 2019
Tidak diketahui secara jelas siapakah pemain-pemain yang dimaksudkan beliau itu.
Namun dalam perlawanan menentang The Cops di Stadium Hang Jebat beberapa hari lepas, Satianathan masih menggunakan pemain-pemain yang sama dalam kesebelasan utama.
Beliau hanya melakukan beberapa pertukaran dengan memasukkan Abdul Latiff Suhaimi bagi menggantikan K. Prabakaran yang dilanda kecederaan.
Malah perubahan itu nyata tidak berbaloi selepas dua gol PDRM boleh dikatakan berpunca dari kesilapan pemain pertahanan berusia 30 tahun itu.
Alasan lain
Dalam temubual selepas tamat permainan, Satianathan kemudiannya membangkitkan isu pengadil tidak memberikan sepakan percuma dan sepakan panalti kepada pasukan pasukannya kerana ketiadaan teknologi Video Assistant Referee (VAR).
Beliau seolah-olah mahu mengatakan pengadil telah membuat kesilapan dalam membuat keputusan di atas padang.
Komen B. Sathianathan selepas Selangor gagal mempertahankan 3 mata
Posted by Semuanya BOLA on Wednesday, August 21, 2019
Di media sosial, suara-suara penyokong Selangor sudah mula mempersoalkan kredibiliti Satianathan yang sejak awal musim hanya sering menyalahkan pemain dan faktor-faktor lain tetapi tidak kepada diri sendiri.
Sikapnya itu dikatakan hanya akan meruntuhkan moral anak buahnya sedangkan peranan jurulatih sepatutnya adalah membina keyakinan dan menaikkan motivasi para pemain.
Pendekatan tidak popular
Mungkin pendekatan beliau itu tidak popular tetapi setiap jurulatih sudah tentu mempunyai cara dan kaedah yang berbeza untuk membimbing pasukan mereka.
Baki dua perlawanan di peringkat kumpulan adalah peluang untuk Satianathan untuk membuktikan sesuatu.
Pengalaman dan pencapaian beliau yang pernah menjadi jurulatih negara serta beberapa pasukan negeri sebelum ini tidak boleh dipandang sebelah mata.
Perlawanan Piala Malaysia seterusnya dijadualkan pada 14 September bagi melayan kunjugan Melaka United di Shah Alam.
Mereka akan mengakhiri saingan di peringkat kumpulan bertemu Felda United empat hari berikutnya.
Pasukan Selangor pada hujung minggu ini tidak akan beraksi memandangkan mereka akan fokus kepada Piala Sultan Selangor yang akan berlangsung pada malam esok di Stadium Shah Alam.
Harapan penulis, apa pun kaedah yang digunakan, janganlah sampai ia memakan diri. Buat masa ini, ia banyak mengundang tanda tanya.
Nota editor: Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian Semuanya BOLA sebagai sebuah organisasi.