Piala Malaysia 2019: Selangor Perlu Elak Kesilapan Mudah Berdepan Perak

Selangor

Kehangatan saingan Piala Malaysia musim ini semakin dirasai selepas tujuh pasukan mengesahkan tempat di pusingan suku akhir. Juara kumpulan D, pasukan Selangor akan bertandang ke Stadium Ipoh pada Ahad ini untuk berdepan juara bertahan, Perak.

Berdasarkan rekod pertemuan kedua-dua pasukan pada musim ini dalam saingan Liga Super, Perak nyata lebih unggul dengan mencatat kemenangan 3-2 di tempat sendiri dan kedua-dua pasukan terikat 1-1 di Shah Alam.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Dr. Johan Kamal Hamidon menjelaskan, bahawa beliau tetap berpuas hati dengan prestasi pasukan tersebut yang tidak pernah tewas dalam semua enam perlawanan di peringkat kumpulan.

“Apa yang lebih penting, dalam semua perlawanan yang kita bermain, berhadapan Melaka, PDRM dan Felda, kita lebih dominan berbanding pasukan lawan dan kita dilihat lebih selesa menguasai perlawanan.

“Malangnya, dalam banyak perlawanan kita dihukum disebabkan kesilapan. Contohnya situasi bola mati dan tidak mengawal pemain lawan dengan baik. Itu adalah perkara yang saya harap para pemain perlu perbaiki dan kekal fokus 100 peratus untuk tempoh 90 minit masa permainan.

“Tetapi dari segi prestasi dan persembahan pasukan, jelas terbukti sebagai satu unit pasukan, mereka [pemain] selesa membuat serangan dan mampu mendominasi permainan,” ujar Dr. Johan ketika dihubungi pihak SemuanyaBOLA.

“Semoga untuk perlawanan seterusnya, pemain boleh elakkan daripada melakukan kesilapan.”

Ketika ditanya mengenai kemampuan Mehmed Durakovic, Dr. Johan mengakui bekas jurulatih Selangor itu ternyata sangat bahaya terutama dalam pusingan kalah mati.

“Mehmed [Durakovic] adalah pakar dalam perkara ini. Dia tahu apa yang perlu dibuat. Kita lihat musim lepas mereka juara Piala Malaysia dan dalam kempen Piala FA tahun ini pun mereka mara sehingga perlawanan akhir.”

Dr. Johan turut ditanya adakah beliau setuju pasukan Selangor merupakan pasukan pilihan untuk pertemua ini.

“Sudah tentulah Selangor bukan pilihan, Perak adalah juara bertahan. Mana mungkin kita boleh letakkan mereka sebagai ‘underdog’.” kata beliau sambil ketawa.

“Jika mahu dibandingkan sekalipun, kita boleh nampak mereka mempunyai lebih ramai pemain kebangsaan seperti Brendan Gan, Shahrel Fikir dan Shahrul Saad. Kelebihan Selangor, pasukan kami memiliki pemain-pemain muda yang sedang meningkat naik.”

Dr. Johan turut mengambil kesempatan untuk memberi ucapan kepada pemain muda negara, Luqman Hakim Shamsudin yang dikhabarkan akan menyertai kelab liga divisyen satu Belgium, KV Kortjik.

“Saya mengucapkan semoga berjaya, buat yang terbaik dan diharapkan dia [Luqman] dapat manfaatkan segala pendedahan demi pembangunan kariernya di luar negara.

“Semoga dia akan menjadi pemain hebat untuk Malaysia di masa hadapan.”

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN