Quantcast

LIGA MALAYSIA

Piala Malaysia 2019: Selangor Dan Melaka United Melangkah Ke Suku Akhir

Persaingan sengit antara empat pasukan di Kumpulan D, Piala Malaysia 2019 akhirnya terlerai apabila Selangor dan Melaka United sah melayakkan diri ke peringkat suku akhir selepas berakhirnya perlawanan terakhir pada malam tadi.

Selangor menjuarai kumpulan dengan mengumpul 10 mata, diikuti Melaka United dengan lapan mata, FELDA United di kedudukan ketiga dengan tujuh mata dan PDRM tercorot dengan enam mata.

Melaka United bernasib baik

Jaringan penalti bekas kapten skuad kebangsaan, Safiq Rahim pada minit ke-54 membolehkan Melaka United mengesahkan tiket ke suku akhir Piala Malaysia 2019 apabila berjaya mengikat PDRM dengan keputusan 2-2 di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Jika tewas, PDRM akan meraih slot ke suku akhir selepas Selangor mudah menjinakkan FELDA United di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka. Sudah tertulis rezeki buat skuad Hang Tuah, mereka berjaya menamatkan aksi dengan keputusan seri.

Luka Milunovic memberikan pelawat jaringan pendahuluan pada minit ke-9 – jaringan ketiganya di Piala Malaysia, sebelum ianya disamakan seminit kemudian oleh pemain tengah, Fakrul Aiman menerusi rembatan derasnya dari luar kotak penalti.

Uche Agba kemudian memberikan gol pendahuluan buat PDRM pada minit ke-31 sebelum akhirnya pemain tengah, Safiq Rahim menyempurnakan sepakan penalti untuk menghadiahkan tiket suku akhir buat skuad kendalian Zainal Abidin Hassan.

Selangor menang di Jengka

Pengendali Selangor, B. Satiananthan menyenaraikan kesebelasan terbaik dengan kemasukkan semula Syazwan Zainon dan Halim Saari. Ianya membuahkan hasil apabila Gergasi Merah menang 2-0 ke atas FELDA United seterusnya mengesahkan slot suku akhir.

Ifedayo Olusegun menjaringkan gol pertama buat Selangor pada minit ke-16 selepas menerima umpanan cantik Endrick kepadanya yang langsung dibiarpun berseorangan untuk pertahanan The Fighters – jaringan ketiga peribadinya di Piala Malaysia.

Khyril Muhymeen memberikan kelebihan dua gol buat pelawat pada minit ke-75 hasil tandukan terbangnya di hadapan gawang FELDA United yang dikawal oleh Norazlan Razali.

Kegagalan tuan rumah untuk memenangi pertempuran terakhir ini menyebabkan mereka tersingkir namun persaingan yang diberikan FELDA United di Piala Malaysia kali ini sangat memberikan kesan. Tiada siapa menyangka akan persaingan sengit di Kumpulan D.

Melaka United selaku naib juara kumpulan akan menentang Pahang di peringkat suku akhir, sementara Selangor pula dijadualkan akan bertemu musuh tradisi mereka, Perak.

Kredit Featured Image: Melaka United SA