Quantcast

BERITA

Piala Malaysia 2019: Sathianathan Optimis Selangor Mampu ke Separuh Akhir

Kekalahan tipis 1-0 pasukan Selangor kepada Perak dalam perlawanan suku akhir pertama di Stadium Ipoh semalam tidak meresahkan ketua jurulatih pasukan itu, B. Sathianathan.

Malah beliau begitu yakin peluang pasukannya masih cerah untuk mencatat kemenangan dalam perlawanan timbal balik di gelanggang sendiri  pada 29 September ini.

Oleh yang demikian, jurulatih kelahiran Perak itu mahu anak buahnya optimis untuk melakukan kebangkitan di hadapan penyokong sendiri dan menghidupkan semula misi menjuarai kejohanan tertua di Malaysia itu buat kali ke-34.

“Dalam bola sepak, apa pun boleh berlaku, kita nak bangkit dalam pusingan kedua (suku akhir), kalah 0-1 lebih baik daripada dibolosi 0-3.

“Dengan sokongan penyokong The Red Giants, saya berani cakap ia akan beri kelebihan dan motivasi kepada barisan pemain. Lagi pun, tiada pasukan yang nak kalah kalau beraksi di tempat sendiri,” katanya kepada wartawan Bernama pada sidang media selepas perlawanan menentang Perak di Stadium Perak, malam tadi.

Sathianathan turut memuji sikap beberapa pemainnya yang memberi komitmen yang tinggi dalam perlawanan berkenaan sekalipun masih belum cergas 100 peratus.

“Misalnya Abdul Halim Saari dan Mohd Syazwan Zainon, mereka bermain dalam keadaan (prestasi) 50 peratus. Sandro Da Silva tidak diturunkan sebab masalah sama. Jadi, bagi saya pemain telah tunjukkan satu persembahan yang baik,” katanya lagi.

The Bos Gaurus bermula garang dengan melakukan beberapa percubaan pada awal permainan. Hasilnya pada minit ke-13, pemain tengah Perak, Brendan Gan berjaya memecah kebuntuan buat pasukannya menerusi sepakan lencong dari luar kotak penalti.

Perancangan Sathianathan memasukkan Abdul Latiff Suhaimi bagi menggantikan K. Sarkunan dalam perlawanan malam tadi nyata tidak berbaloi selepas pemain tengah tersebut tidak beraksi seperti yang diharapkan.

Sebaik sahaja Sarkunan dimasukkan pada babak kedua, barulah Selangor beraksi dengan lebih baik dengan menampilkan corak permainan yang lebih kemas dan melancarkan serangan-serangan merbahaya ke kubu pasukan tuan rumah.

Bahagian tengah Selangor dilihat begitu sukar untuk menyaingi kehebatan gandingan Brendan Gan dan Leondro Dos Santos walaupun pada hakikatnya mereka mempunyai barisan pemain tengah tempatan berbakat seperti Abdul Halim Shaari, K. Sarkunan, Faiz Nasir, Abdul Latiff Suhaimi dan Nurridzuan Abu Hassan.

Dengan tempoh beberapa hari lagi untuk perlawanan seterusnya, diharapkan jurulatih B. Sathianathan dapat mencari formula terbaik bagi memperbaiki jentera tengah The Red Giants.