Piala Malaysia 2019: Sabah Raih Kemenangan Sulung, Sekat Hajat 3 Mata Pulau Pinang

Azzizan Nordin

Pulau Pinang gagal meraih tiga mata penting dalam misi memburu slot suku akhir apabila tewas 0-2 kepada Sabah dalam aksi kelima Kumpulan C, Piala Malaysia 2019 di Stadium Likas, malam tadi.

Harus diakui, Likas adalah kubu kuat juara Liga Premier musim 2019 itu dengan hanya dua kekalahan direkodkan sepanjang tahun ini, iaitu tewas kepada JDT II pada perlawanan pertama liga dan kemudian Pahang dalam saingan Piala Malaysia tempohari.

Terikat tanpa jaringan di babak pertama, Sabah akhirnya memecah kebuntuan perlawanan pada minit ke-54 menerusi jaringan Maximus Musa selepas penjaga gol Pulau Pinang, Zamir Selamat gagal menampan kemas umpanan dari sebelah kiri gawang.

Penyerang import, Rodoljub Paunovic meledak gol kedua Sabah pada minit ke-82 untuk menutup terus peluang Pulau Pinang memburu jaringan penyamaan selepas menyudahkan hantaran Aguinaldo yang berjaya menewaskan beberapa pemain pelawat dari kawasan middle third sehingga ke depan gawang.

Harimau Kumbang pada awalnya berpeluang untuk menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-63, namun penyerang sensasi, Casagrande gagal memanfaatkan penalti yang diambilnya.

Bercakap di sesi post match di Iflix, pengendali Pulau Pinang, Manzoor Azwira menyatakan kemungkinan rehat yang panjang baru-baru ini telah menjejaskan rentak skuad kendaliannya.

“Sebenarnya nampak pemain-pemain saya tidak bermain seperti biasa. Mungkin ini adalah salah satu kesan apabila kita melalui satu tempoh rehat yang panjang, samaada ia menjadi atau tidak menjadi (prestasi pemain),” ujar Manzoor Azwira.

“Tetapi, saya rasa pemain-pemain terus memberi saingan dan kita mendapat peluang, cuma kita tidak menjaringkan gol. Dan kita juga mendapat peluang di separuh masa kedua, kita mendapat penalti tetapi tidak beraksi baik (penyudah),” tambahnya lagi.

Sementara itu, pengendali Sabah, Jelius Ating menyatakan penting untuk mereka meraih tiga mata pada malam ini walaupun sukar untuk Sabah memburu tiket ke suku akhir apabila Perak telah merekodkan kemenangan ke atas Pahang selepas itu.

Ini merupakan kemenangan pertama Sabah di kempen Piala Malaysia musim ini selepas tewas keempat-empat perlawanan sebelum ini. Musim lalu mereka mengejutkan banyak pihak apabila melangkah sehingga ke peringkat separuh akhir.

Pulau Pinang masih berpeluang untuk menyaingi Perak namun berdasarkan defisit gol, kelebihan berada di tangan Perak. Pulau Pinang akan menanti kunjungan Pahang sementara Perak akan berkunjung ke kubu kuat Sabah, Likas pada Rabu depan.

Kredit Featured Image: Malaysian Football League (MFL)

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN