Hajat Pulau Pinang untuk mencatat keputusan positif berdepan Pahang gagal direalisasikan apabila mereka tunduk 0-2 kepada juara edisi 2013 dan 2014 itu dalam perlawanan terakhir Kumpulan C, Piala Malaysia 2019 yang berlangsung di Stadium Bandaraya.
Ledakan Herold Goulon dan jaringan sendiri oleh pertahanan, A. Segar sudah cukup untuk membantu Tok Gajah menewaskan Harimau Kumbang di kandang sendiri seterusnya menyingkirkan Pulau Pinang daripada saingan Piala Malaysia kali ini.
Rentak perlahan dipamerkan oleh kedua-dua pasukan di awal babak pertama dan Pulau Pinang bermula dengan beberapa asakan awal ke kubu Pahang dalam 10 minit pertama. Masalah utama kedua-dua pasukan adalah kombinasi di final third.
Cuaca jerebu sedikit mengganggu rentak perlawanan dengan bacaan IPU terkini di Pulau Pinang mencecah 220 iaitu pada paras tidak sihat. Walaubagaimanapun, perlawanan tetap diteruskan oleh pegawai perlawanan dengan pengadil memberikan ruang untuk water break pada pertengahan babak pertama dan kedua.
Beberapa perubahan oleh Dollah Salleh dalam kesebelasan utama Tok Gajah tampak sedikit menjejaskan tempo dan kombinasi aksi permainan, sementara Harimau Kumbang mempertaruhkan barisan terbaik mereka untuk aksi penting hidup mati mereka ini.
Minit ke-23, Pulau Pinang menerusi tandukkan Casagrande berjaya menguji Helmi Eliza Elias buat kali kedua selepas penyerang tinggi lampai itu terlepas peluang di hadapan gol pada awal permainan.
Julian Bottaro sekali lagi berhasil menguji Helmi Eliza Elias pada minit ke-30 menerusi sepakan percuma jarak jauh, namun penjaga gol berpengalaman itu berjaya menangkap kemas percubaan itu sebelum pemain sayap, Al-Hafiz Harun mensia-siakan ruang di depan gawang dengan percubaan tersasar seminit kemudian.
Tanpa Lazarus Kaimbi dan Dickson Nwakaeme, jentera serangan Pahang sedikit senyap dikemudi oleh Norshahrul Idlan Talaha dan R. Kogileswaran. Pahang hadir menguji Zamir Selamat hanya pada minit ke-43 menerusi rembatan liar Norshahrul Idlan Talaha.
Harimau Kumbang tampil lebih agresif memburu gol pada permulaan babak kedua menerusi dua percubaan liar daripada Syukur Saidin dan Al-Hafiz Harun sebelum Casagrande terlepas peluang terbuka di depan gawang pada minit ke-50.
52' | GOL HEROLD!@OfficialPahang berjaya membuka tirai jaringan di Stadium Bandaraya selepas pertahanan Tok Gajak, Herold Goulon menewaskan Zamir Selamat.#PialaMalaysia2019#MFLLive#PENPHG pic.twitter.com/GhpQCcyC0e
— MFL LIVE (@MFL_Live) September 18, 2019
Dua minit kemudian, Pahang berhasil mendahului perlawanan hasil gerakan dan jaringan Herold Goulon selepas berjaya memperdaya hampir empat pemain tuan rumah sebelum membuat percubaan mudah untuk menewaskan penjaga gol, Zamir Selamat – jaringan kedua peribadinya dalam kempen Piala Malaysia kali ini.
Minit ke-57, pertahanan kiri Pulau Pinang, A. Segar menambah sengsara buat pasukannya apabila membuat kesilapan besar dengan tertampan untuk jaringan sendiri hasil hantaran lintang rendah oleh Wan Zaharulnizam ke hadapan gawang tuan rumah.
Pulau Pinang tidak mengalah malah masih cuba mengatur asakan ke benteng pelawat namun kombinasi lemah di final third mereka berterusan dan jelas mengecewakan Harimau Kumbang malam ini. Kehilangan khidmat kapten, Kang Seung-jo yang dikeluarkan akibat kecederaan gagal diisi oleh pengganti, Nurfais Johari.
Tuan rumah terus dikecewakan dengan percubaan tersasar dan kali ini menerusi Nurfais Johari pada minit ke-80 sebelum Helmi Eliza Elias berjaya menangkap kemas percubaan Julian Bottaro, lima minit kemudian. Sepakan percuma tiga minit sebelum aksi tamat juga gagal dimanfaatkan, sekali lagi oleh Julian Bottaro.
Dengan kekalahan ketiga ini, Pulau Pinang sah tersingkir dan Perak akan mengiringi Pahang ke peringkat suku akhir Piala Malaysia 2019. Pulau Pinang menamatkan kempen Piala Malaysia kali ini dengan berada di kedudukan ketiga mengumpul lima mata.
Kredit Featured Image: Malaysian Football League (MFL)