Pahang menepati ramalan apabila mudah untuk menewaskan Pulau Pinang dengan keputusan 3-1 dalam aksi pertama Kumpulan C, Piala Malaysia 2019 di Stadium Darul Makmur, sebentar tadi.
Terikat tanpa jaringan di babak pertama, tuan rumah bangkit di babak kedua selepas ketinggalan satu gol menerusi jaringan Dickson Nwakaeme, Mohamadou Sumareh dan Muslim Ahmad.
Kedua-dua pasukan menurunkan barisan terbaik masing-masing dalam perlawanan pertama ini dalam pemburuan mata penuh. Pahang pastinya bergantung harapan kepada gandingan Lazarus Kiambi dan Dickson Nwakaeme sementara Pulau Pinang pula mempertaruhkan Ezequiel Aguero, Julian Bottaro dan Casagrande.
30 minit pertama menyaksikan rentak perlahan dan berhati-hati dipamerkan oleh kedua-dua pasukan dengan Pahang terlebih dahulu tiba ke kubu Pulau Pinang seawal minit ke-5 namun berjaya dikekang baik oleh benteng biarpun Zamir Selamat telah tertewas.
Tempo perlahan ini menjejaskan perlawanan yang tampak sedikit membosankan tanpa sebarang tekanan dipamerkan oleh barisan pemain kedua-dua pasukan sehinggalah pada minit ke-32, selepas percubaan Ezequiel Aguero, ia terus merancakkan perlawanan.
Biarpun rentak perlawanan yang agak perlahan, Tok Gajah telah mencipta peluang kedua untuk meledak gol pada minit ke-20 namun percubaan pemain tengah, Safuwan Baharudin sekadar tersasar di atas palang gol. Selain itu, disiplin bertahan baik oleh Pulau Pinang telah berjaya menggagalkan gerakan kembar serangan Pahang – Lazarus Kaimbi dan Dickson Nwakaeme.
Harimau Kumbang yang jarang sekali berjaya melepasi zon tengah padang akhirnya berjaya mengasak ke gawang tuan rumah pada minit ke-32 bermula menerusi larian solo Ezequiel Aguero namun percubaan berbahayanya berjaya ditepis oleh Helmi Eliza Elias.
Tanpa sebarang gol di babak pertama, Pahang cuba menekan awal di babak kedua namun taktikal bertahan yang kompak dipamerkan oleh Pulau Pinang acap kali berjaya menggagalkan percaturan tuan rumah untuk mengasak dari segenap sudut padang.
Pulau Pinang akhirnya berjaya mengejutkan Pahang untuk gol pertama perlawanan pada minit ke-51 menerusi serangan balas pantas yang direncana oleh Al-Hafiz Harun sebelum hantaran Ezequiel Aguero melepaskan Julian Bottaro yang berjaya menewaskan Herold Goulon dan Helmi Eliza Elias di gawang.
4 minit kemudian, Tok Gajah dilihat bangkit mengasak menerusi tandukkan pertahanan, Muslim Ahmad berpunca daripada sepakan sudut namun ianya sedikit tersasar. Respon segera Pahang ini membolehkan mereka memperolehi sepakan penalti apabila Abdul Qayyum melakukan kekasaran terhadap Mohamadou Sumareh.
Dickson Nwakaeme berjaya menyempurnakan sepakan penalti tersebut untuk tuan rumah kembali mengikat kedudukan pada minit ke-58 – jaringan ke-10 peribadinya untuk musim ini.
Pahang berterusan mengasak pelawat menerusi gerakan pantas namun kecemerlangan Zamir Selamat memastikan gawangnya tidak dibolosi buat kali kedua sehinggalah pada minit ke-66, Mohamadou Sumareh berjaya meledak gol kedua tuan rumah selepas menerima hantaran kemas Dickson Nwakaeme.
Penguasaan penuh perlawanan oleh Pahang dengan tempo aksi telah ditingkat oleh Tok Gajah sejak ketinggalan satu gol dengan Harimau Kumbang dilihat terus pasif untuk fokus bertahan. Dollah Salleh telah memasukkan dua pemain, Faisal Halim dan Saddil Ramdani untuk menyuntik elemen pantas kepada skuadnya.
Pulau Pinang yang sering diasak terus tertekan apabila sepakan percuma yang diambil oleh Saddil Ramdani berjaya ditanduk tipis oleh Muslim Ahmad pada minit ke-83 untuk gol ketiga tuan rumah.
Perlawanan akhirnya ditamatkan oleh pengadil dengan Pahang berjaya meraih 3 mata penuh hasil kebangkitan menundukkan wakil Liga Premier, Pulau Pinang dengan keputusan 3-1.
Pahang: Helmi Eliza Elias (PG), Herold Goulon, Muslim Ahmad, Matthew Davies (K), Zubir Azmi, Nor Azam Azih, Safuwan Baharudin, Mohamadou Sumareh, Norshahrul Idlan Talaha (63′ Faisal Halim), Lazarus Kaimbi (77′ Saddil Ramdani), Dickson Nwakaeme
Pulau Pinang: Zamir Selamat (PG), Abdul Qayyum Jabbarullah (79′ Wan Syukri Wan Ahmad), Khairul Akmal Rokisham (84′ Safwan Hazman), A. Segar, M. Yoges, Kang Seung-jo (K), Azrul Ahmad, Al-Hafiz Harun (88′ Danial Ariffin), Ezequiel Aguero, Julian Bottaro, Casagrande